fb fb fb fb fb

Ibu tiga anak bebas tuduhan terlibat dalam pengeboman kuil di Bangkok pada 2015

FOTO FAIL REUTERS

BANGKOK, 7 November- Mahkamah Thailand hari ini membebaskan seorang wanita yang dituduh terlibat dalam serangan bom pada 2015 di sebuah kuil popular di Bangkok yang mengorbankan 20 orang, kebanyakannya pelancong.

Wanna Suansan didakwa bersubahat dalam pembunuhan, cubaan membunuh, dan memiliki bahan letupan haram berhubung letupan di kuil Erawan di tengah-tengah kawasan membeli-belah utama Bangkok.

Mahkamah di Bangkok mendapati tidak cukup bukti terhadap wanita berusia 36 tahun itu dan membebaskannya daripada semua tuduhan.

Suspek utama dalam pengeboman tersebut, dua lelaki Uyghur, masih menjalani perbicaraan yang berlarutan selama bertahun-tahun.

Wanna, yang berasal dari wilayah selatan Phang-Nga, dituduh menyewa harta dan membekalkan bahan kimia kepada pengebom.

Namun, Wanna berada di Turki bersama suaminya semasa letupan berlaku dan hakim memutuskan bahawa pihak pendakwa gagal membuktikan sebarang kaitan antara beliau dan suspek utama.

“Tiada gambar beliau di lokasi kejadian, tiada data telefon, atau sebarang sambungan telefon yang mengaitkan beliau dengan dua suspek lain,” kata hakim itu.

“Tiada bukti yang membuktikan defendan bersalah atas tuduhan tersebut, jadi mahkamah membebaskannya.”

Wanna meluahkan rasa lega setelah dibebaskan.

“Saya bersyukur semuanya sudah berakhir ia memakan masa tujuh tahun dan sangat memberi kesan pada keluarga saya, serta tiga anak saya,” katanya kepada pemberita selepas keputusan itu.

Suspek utama, Yusufu Mieraili dan Bilal Mohammed juga dikenali sebagai Adem Karadag telah berada dalam perbicaraan sejak 2016 atas tuduhan menanam bom, tetapi kes mereka sering tertangguh kerana masalah mencari penterjemah yang sesuai.

Lebih daripada 100 saksi masih menunggu untuk memberi keterangan.

Letupan pada Ogos 2015 itu menyasarkan kuil yang popular dalam kalangan pelawat etnik Cina, beberapa minggu selepas junta Thailand pada ketika itu memaksa 109 Uyghur pulang ke China, di mana aktivis hak asasi manusia mengatakan minoriti Muslim ini menghadapi penindasan budaya dan agama.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE