fb fb fb fb fb

Ibu dan dua anaknya maut, rumah didiami mereka runtuh

FOTO REUTERS

ROME, 23 September- Tiga orang, termasuk dua kanak-kanak yang juga merupakan pasangan adik-beradik, terbunuh selepas bangunan dua tingkat tempat mereka tinggal runtuh.

Kejadian berlaku di kawasan berhampiran Naples di selatan Itali pada Ahad.

Rumah tersebut runtuh pada pagi Ahad di kawasan Saviano, menyebabkan seorang budak lelaki dan seorang budak perempuan yang tinggal di sana bersama keluarga mereka maut, serta seorang wanita yang belum dikenal pasti.

Pun begitu, media tempatan melaporkan wanita berkenaan adalah ibu kepada pasangan adik beradik tersebut.

Penyelamat bagaimanapun berjaya mengeluarkan seorang lelaki dan seorang bayi dengan selamat sebelum mengeluarkan dua mayat kanak-kanak.

Media tempatan melaporkan umur budak perempuan dan budak lelaki itu masing-masing empat dan enam tahun.

Selepas beberapa jam mencari runtuhan secara manual dengan bantuan anjing pengesan, pasukan bomba menemui mangsa ketiga, seorang wanita yang belum dikenal pasti, kata jurucakap perkhidmatan bomba Luca Cari kepada RaiNews 24.

Lebih daripada 60 sukarelawan perlindungan awam telah menyertai usaha menyelamat, menurut kenyataan wilayah Campania di Facebook.

Lelaki dan bayi yang diselamatkan daripada runtuhan itu kini sedang dirawat di hospital, dengan keadaan lelaki berkenaan dilaporkan serius, menurut laporan media.

Rakaman yang disediakan oleh pasukan bomba menunjukkan dua lubang besar di bumbung bangunan, yang sebahagiannya runtuh.

Punca runtuhan mungkin disebabkan letupan gas, kata laporan berita.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE