TOKYO, 23 September- Hujan lebat yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh di Jepun yang sedang pulih daripada gempa bumi tahun ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang, lapor media tempatan pada Isnin.
Penyiar awam NHK dan saluran lain melaporkan enam kematian, manakala seorang pegawai jabatan bomba memberitahu AFP bahawa seorang mangsa telah meninggal dunia dan lima lagi berada dalam "keadaan henti jantung-pernafasan", istilah yang digunakan di Jepun sebelum kematian disahkan oleh doktor.
Kerajaan wilayah di Ishikawa, di pantai Laut Jepun, berkata dua orang masih hilang dan status lapan lagi tidak diketahui.
Hujan lebat melanda Ishikawa sejak Sabtu, dengan lebih daripada 540 milimeter hujan dicatatkan di bandar Wajima dalam tempoh 72 jam.
Wilayah itu masih terkesan daripada gempa bumi berkekuatan 7.5 pada awal tahun ini, yang meruntuhkan bangunan, mencetuskan gelombang tsunami, dan mengakibatkan kebakaran besar.
Air bah turut membanjiri perumahan sementara yang dibina untuk mangsa gempa bumi pada Hari Tahun Baru, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 374 orang, menurut angka kerajaan Ishikawa.
Pada Isnin, sebanyak 4,000 isi rumah terputus bekalan elektrik akibat hujan, menurut Syarikat Tenaga Elektrik Hokuriku.
Lebih daripada 100 kawasan di wilayah itu terputus hubungan, dengan jalan raya ditutup akibat tanah runtuh.
Di Wajima pada Ahad, dahan-dahan pokok patah dan sebatang pokok besar yang tercabut berkumpul di sebuah jambatan di atas sungai di mana air deras yang berwarna coklat hampir mencecah paras tanah.
Anggota tentera dihantar ke wilayah Ishikawa untuk bergabung dengan pasukan penyelamat sepanjang hujung minggu, ketika puluhan ribu penduduk diarah berpindah.
Saintis berkata perubahan iklim yang berpunca daripada aktiviti manusia manusia meningkatkan risiko hujan lebat kerana atmosfera yang lebih panas mampu menampung lebih banyak air.
Kawasan yang berada bawah amaran kecemasan mengalami "hujan lebat pada tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini," kata pakar ramalan JMA, Satoshi Sugimoto.- AFP