fb fb fb fb fb

Zelensky tiba di AS, bentang visi tamatkan perang dengan Rusia

FOTO AFP

KIEV, 23 September- Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, tiba di negeri Pennsylvania, Amerika Syarikat pada Ahad, memulakan lawatan penting di mana beliau akan membentangkan visi Kiev tentang cara untuk menamatkan perang dengan Rusia.

Zelensky dijadualkan menjelaskan rancangan Ukraine kepada Presiden Joe Biden, serta Naib Presiden Kamala Harris, dan secara berasingan kepada calon presiden Republikan, Donald Trump.

"Kami telah tiba di Amerika Syarikat," kata Zelensky di media sosial.

"Rancangan untuk kemenangan Ukraine akan dibentangkan kepada semua sekutu kita."

Beliau berkata, lawatan itu bermula di Pennsylvania untuk satu "kunjungan khas" sebelum meneruskan perjalanan ke New York dan Washington.

"Ukraine akan membentangkan rancangan kemenangan di Amerika Syarikat, dan Presiden Amerika Syarikat akan menjadi yang pertama melihatnya secara terpeinci," kata Zelensky dalam satu video dari pesawat dalam perjalanan ke Pennsylvania.

Beliau kemudian akan membentangkannya kepada "semua pemimpin negara rakan kita" serta kepada Kongres Amerika Syarikat dan "kedua-dua calon presiden", tambahnya.

"Musim luruh ini akan menentukan apa yang akan berlaku seterusnya dalam perang ini," kata Zelensky.

"Ketika ini, sedang ditentukan apakah legasi yang akan ditinggalkan oleh pemimpin-pemimpin negara pada generasi akan datang. Mereka yang berada di jawatan tertinggi."

Zelensky dijangka cuba meyakinkan Biden untuk membenarkan Kiev menyerang sasaran di dalam Rusia menggunakan senjata jarak jauh yang dihantar oleh Barat, yang katanya akan mengubah haluan perang.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE