fb fb fb fb fb

IAEA gesa Iran sambung semula rundingan nuklear 'sekarang'

 (FOTO IAEA) 

WASHINGTON, 13 Jun- Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menggesa Iran supaya menyambung semula rundingan "sekarang" untuk mengelakkan krisis yang boleh menjadikan "lebih sukar" untuk menyelamatkan perjanjian nuklear 2015.

Iran minggu lepas memutuskan sambungan beberapa kamera yang membenarkan pemeriksa antarabangsa memantau aktiviti nuklearnya.

Ia sebagai tindak balas kepada resolusi Barat yang diluluskan pada 8 Jun, yang mengandungi kecaman agensi PBB itu terhadap Iran yang dikatakan kurang memberi kerjasama.

"27 kamera pengawasan telah dialihkan, langkah yang sangat serius" kata Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi dalam wawancara yang disiarkan oleh CNN.

"Satu-satunya cara untuk Iran mendapat keyakinan, kepercayaan yang sangat mereka perlukan untuk memajukan ekonomi mereka ialah dengan membenarkan pemeriksa IAEA hadir."

(Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi/ File REUTERS)

Tanpa kamera pengawasan, Grossi berkata, agensinya tidak lama lagi tidak akan dapat mengisytiharkan sama ada program nuklear Iran adalah "aman" seperti yang berulang kali ditegaskan oleh Tehran atau sama ada Iran sedang membangunkan bom atom.

Perjanjian 2015, yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) memberi Iran kelegaan daripada sekatan ekonomi yang melumpuhkan, sebagai pertukaran kepada persetujuan mematuhi langkah kawalan terhadap aktiviti nuklearnya.

Tetapi pada 2018, Presiden Amerika Syarikat ketika itu Donald Trump secara sepihak menarik diri daripada pakatan itu dan mengenakan semula sekatan, mendorong Iran untuk mula membatalkan komitmennya.

Rundingan untuk memulihkan JCPOA telah terhenti sejak Mac. -AFP

Media Baharu