fb fb fb fb fb

Menteri-menteri Luar ASEAN bimbang peningkatan ujian peluru berpandu Korea Utara

(FOTO AFP) 

JAKARTA, 13 Jun - Menteri-menteri Luar ASEAN menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ujian peluru berpandu balistik antara benua dan pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara baru-baru ini.

Menerusi kenyataan yang disiarkan menerusi laman sesawang ASEAN, para menteri berkata perkembangan membimbangkan itu mencerminkan ketegangan di Semenanjung Korea semakin meruncing, mengancam keamanan dan kestabilan di rantau ini dan seluruh dunia.

Menteri-menteri Luar ASEAN menggesa Korea Utara meredakan ketegangan dan mengelakkan segala tindakan yang mungkin memburukkan keadaan, sebaliknya mematuhi semua Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu yang berkaitan.

Usaha diplomatik, termasuk mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk sesi dialog antara semua pihak berkaitan harus kekal menjadi keutamaan.

(Menteri-menteri luar ASEAN menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan ujian peluru berpandu balistik antara benua dan pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara/Fail AP)

Menteri-menteri Luar ASEAN juga bersedia memainkan peranan membina, termasuk melalui penggunaan mekanisme yang diterajui ASEAN, seperti Forum Serantau ASEAN, bagi mencari penyelesaian secara aman untuk mewujudkan Semenanjung Korea yang bebas senjata nuklear.

Korea Selatan dan Amerika Syarikat melancarkan lapan peluru berpandu permukaan ke permukaan pada Isnin lepas sebagai tindak balas terhadap lapan peluru berpandu yang dilancarkan Korea Utara, sehari sebelumnya. -BERNAMA

Media Baharu