fb fb fb fb fb

Hungary kawal harga barangan asas, penduduk luar bandar masih terhimpit

Pelanggan membeli-belah di sebuah kedai runcit di Tiszaroff, salah satu kampung termiskin di rantau ini, kira-kira 100 km ke timur dari ibu negara Hungary, Budapest, pada 17 Mac 2025. Dalam usaha meredakan kemarahan pengguna terhadap inflasi yang melambung, Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, telah memperkenalkan kawalan harga ke atas beberapa barangan makanan asas. Dengan melaksanakan kawalan harga makanan – seperti yang turut dilakukan oleh negara seperti Greece dan Romania, pemimpin nasionalis itu berusaha mengekang kenaikan harga menjelang pilihan raya tahun hadapan. / Foto AFP

TISZAROF, 30 Mac-Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban telah mengenakan kawalan harga ke atas barangan asas di pasar raya bertujuan untuk meredakan kemarahan rakyat susulan inflasi yang melonjak tinggi.

Tindakan itu turut mencetuskan pertikaian dengan syarikat multinasional.

Inflasi di Hungary kembali meningkat, mencecah 5.7 peratus pada bulan Februari – kadar tertinggi dalam Kesatuan Eropah (EU), berbanding purata kenaikan harga pengguna sebanyak 2.7 peratus di seluruh EU.

Menurut pakar ekonomi, langkah berkenaan mungkin memberi kelegaan sementara kepada pengguna, tetapi ia kurang memberi manfaat kepada penduduk luar bandar yang jauh dari bandar-bandar besar yang menempatkan pasar raya utama.

"Pasar raya besar yang terjejas, bukan kedai kecil. Kami tidak pergi ke sana," kata Erzsebet Risztics, seorang pesara berusia 68 tahun dari kampung Tiszaroff, salah satu kawasan termiskin di Hungary.

Risztics, yang menghidap diabetes, tidak lagi mampu membeli makanan rendah gula yang diperlukan kerana harganya semakin mahal.

Selain itu, perkhidmatan bas yang terhad menghalangnya untuk berbelanja di bandar berdekatan.

Seorang lagi pesara, Erzsebet Forgo, 80, berkata, "Menyakitkan apabila kampung ini dikecualikan daripada kawalan harga."

Orban yang bakal menghadapi pilihan raya tahun depan, memperkenalkan kawalan harga dengan menghadkan keuntungan pasar raya kepada 10 peratus di atas kos borong untuk 30 jenis barangan asas termasuk telur, susu, dan daging.

Namun, kawalan harga itu tidak melibatkan peruncit kecil yang berpendapatan lebih rendah setiap tahun, secara tidak langsung mengecualikan kedai runcit tempatan.

Selepas langkah itu berkuat kuasa, Orban menuduh peruncit asing "merompak rakyat Hungary" dengan menaikkan harga secara berlebihan dan tidak adil.

Beliau mendakwa pasar raya mengenakan margin keuntungan setinggi 42 peratus bagi kepak ayam dan 70 peratus bagi yogurt.

Orban menyatakan bahawa campur tangan kerajaan perlu bagi mengawal syarikat yang "hanya mementingkan keuntungan".

Sejak kembali berkuasa pada 2010, pemimpin nasionalis itu sering mengecam syarikat runcit antarabangsa yang berkembang pesat selepas kejatuhan komunis, sehingga menyebabkan peruncit tempatan kurang berdaya saing.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan Hungary telah mengenakan cukai khas ke atas syarikat multinasional sambil melaburkan wang pembayar cukai dalam sektor ekonomi seperti perbankan dan telekomunikasi.

Beberapa syarikat besar tempatan yang disokong kerajaan kemudian dijual kepada individu yang rapat dengan Orban.

Namun, dengan pasar raya Eropah seperti SPAR, Lidl, dan Tesco mendominasi sektor runcit Hungary, kerajaan telah mengambil langkah perlindungan termasuk mengenakan cukai keuntungan luar biasa dan had harga sementara.

Tahun lalu, syarikat pasar raya Austria, SPAR, menuduh kerajaan Hungary mendiskriminasi syarikat asing, dengan mahkamah tertinggi EU berpihak kepada mereka dalam satu kes berasingan.

Sementara itu, Persatuan Perdagangan Hungary, yang mewakili kebanyakan peruncit utama di negara itu, menolak tuduhan kerajaan bahawa mereka mengambil keuntungan secara berlebihan.

Menurut kumpulan itu, keuntungan syarikat runcit semakin berkurangan atau mengalami kerugian, dengan syarikat multinasional terpaksa membayar cukai jualan yang tidak dikenakan kepada peruncit kecil Hungary.

Di SPAR, kawalan harga ini dijangka menyebabkan beban tambahan sebanyak 3.7 juta euro (hampir $4 juta) setiap bulan, menurut laman berita kewangan Portfolio yang memetik e-mel dalaman syarikat.

Ketua SPAR Hungary, Gabriella Heiszler, memberi amaran bahawa jika peraturan semasa tidak diperbaiki, syarikat mungkin perlu mengambil langkah drastik seperti memberhentikan pekerja.

Pakar ekonomi juga memberi amaran bahawa peruncit mungkin akan menaikkan harga barangan lain bagi menampung kerugian, yang akhirnya akan menyebabkan kesan berlawanan.

"Pada mulanya, langkah ini mungkin mengekang inflasi kerana melibatkan banyak jenis produk," kata David Nemeth, penganalisis utama di K&H Bank kepada AFP.

Namun, beliau menambah bahawa seperti langkah kawalan harga sebelum ini pada tahun 2022 dan 2023, ia berkemungkinan akan meningkatkan inflasi dalam jangka panjang kerana harga akan meningkat sebaik sahaja kawalan harga ditamatkan.

Menurut Eurostat, Hungary dan Bulgaria menduduki tempat terakhir dalam perbelanjaan isi rumah di EU pada tahun 2023.

Bagi Rozalia Patak, seorang ibu kepada lima anak yang menganggur, kawalan harga ini memberikan sedikit harapan.

Dalam usahanya mendapatkan harga terbaik, kadangkala dia menaiki bas ke bandar berhampiran untuk membeli "pasta termurah" yang ada.

"Semuanya terlalu mahal. Kami tak mampu beli salami atau ikan," kata wanita berusia 51 tahun itu, yang kini mengumpul botol plastik untuk mendapatkan wang tambahan.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD