TOKYO, 30 Mac- Amerika Syarikat (AS) menegaskan komitmennya untuk memastikan kehadiran pertahanan yang kukuh, bersiap siaga, dan boleh dipercayai di Indo-Pasifik, termasuk di Selat Taiwan.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, dalam sidang media di Jepun selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Gen Nakatani, menyifatkan tindakan China di rantau itu sebagai “agresif dan bersifat paksaan.”
“Amerika bertekad mengekalkan keupayaan pertahanan yang mantap, bersedia dan boleh dipercayai di Indo-Pasifik, termasuk di Selat Taiwan,” katanya.
Hegseth turut menegaskan peranan penting Jepun dalam menghadapi sebarang kemungkinan di Pasifik barat.
“Jepun berada di barisan hadapan bagi sebarang kemungkinan krisis di rantau ini, dan kami berdiri teguh bersama mereka.
“Sebab itu, hari ini saya dan Menteri Nakatani membincangkan persekitaran keselamatan yang semakin mencabar serta langkah yang perlu diambil,” jelasnya.
Ketegangan di rantau itu semakin meningkat dengan Beijing memperhebat tekanan ketenteraan ke atas Taiwan, termasuk pencerobohan udara hampir setiap hari. Malah, China tidak menolak kemungkinan menggunakan kekerasan untuk membawa pulau itu di bawah penguasaannya.
“Pertemuan hari ini mengukuhkan lagi hubungan kukuh antara AS dan Jepun. Jelas sekali, persekutuan ini adalah tunjang utama keamanan dan kestabilan di Indo-Pasifik,” kata Hegseth.
“Amerika dan Jepun berdiri teguh menghadapi tindakan agresif dan bersifat paksaan oleh China.”-AFP