fb fb fb fb fb

Hujan lebat di Jepun, tiga hilang, 4,000 dipindahkan

Foto fail/ REUTERS

TOKYO, 26 Julai- Sekurang-kurangnya tiga individu hilang di Jepun pada Jumaat selepas hujan lebat yang turut menyebabkan sungai pecah, menghanyutkan kereta dan menyebabkan beberapa ribu penduduk tempatan berpindah, kata pihak berkuasa dan laporan media.

Kerajaan tempatan di wilayah utara Yamagata dan Akita di Honshu mengeluarkan nasihat pemindahan kepada lebih 200,000 penduduk, kata agensi pengurusan kebakaran dan bencana.

Menurut laporan penyiar awam NHK, daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 4,000 penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan.

Tebing di dua sungai di Yamagata dan satu di Akita pecah. Satu rakaman menunjukkan air sungai berkenaan telah menghanyutkan beberapa kereta termasuk kenderaan polis yang terbalik.

"Tiga orang, termasuk dua pegawai polis yang sedang dalam misi mencari lelaki hilang, tidak dapat dikesan," kata seorang pegawai tempatan kepada AFP.

Agensi cuaca Jepun minggu ini mengeluarkan amaran kecemasan tertinggi dikeluarkan berikutan hujan lebat di Sakta dan Tuza di wilayah Yamagata.

Bagaimanapun Agensi Meteorologi Jepun dalam satu kenyataan berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap potensi tanah runtuh dan banjir.

Jepun dilanda hujan lebat dengan paras yang tidak pernah berlaku sebelum ini di beberapa bahagian di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia menyebabkan banjir dan tanah runtuh serta menyebabkan kemalangan jiwa.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI