fb fb fb fb fb

Hujan lebat di Brazil ragut 18 nyawa termasuk 7 kanak-kanak

FOTO AFP

SAO PAULO, 31 Januari- Sekurang-kurangnya 18 nyawa terkorban dalam kejadian hujan lebat di Sao Paulo, Brazil sejak Jumaat lalu hingga semalam

"Sejak Jumaat lalu, kesan akibat bencana alam ini meragut 18 nyawa termasuk tujuh kanak-kanak dan menyebabkan lebih 500 orang kehilangan tempat tinggal," menurut Pasukan Pertahanan Awam kerajaan negeri Sao Paulo.

Gabenor Joao Doria, selepas membuat tinjauan udara di kawasan terjejas mengumumkan peruntukan 15 juta reales bagi membantu 10 bandar paling terjejas dan 645 daerah di negeri berpenduduk paling padat di Brazil, dengan 46 juta penduduk.

"Saya sangat berdukacita melihat kerosakan yang terjadi akibat hujan lebat. Kami sedang berusaha untuk menyelamat dan saya telah meluluskan peruntukan untuk membantu mereka yang terjejas," kata Doria.

Menurut Jabatan Pertahanan Awam, sembilan lagi mangsa cedera dan lima lagi mangsa masih hilang.

Sebuah balai polis dan jejambat di daerah Franco da Rocha turut ditimbus tanah runtuh.

Hujan lebat dilaporkan di bandar Sao Paulo yang mempunyai 12 juta penduduk tetapi tiada musibah besar dilaporkan.

Brazil terjejas teruk akibat beberapa bencana alam sejak musim hujan bermula Oktober lalu.

Kematian dicatatkan di kawasan majlis perbandaran Francisco Morato, Franco da Rocha, Varzea Paulista, Aruja, dan Embu das Artes, semuanya di kawasan metropolitan Sao Paulo dan di bandar Ribeirao Preto.

Di Varzea Paulista, sepasang suami isteri dan tiga anak mereka meninggal dunia, termasuk seorang bayi berusia setahun, apabila lereng bukit lokasi rumah mereka runtuh pada pagi Ahad.

Selain itu, bandar Franco da Rocha dinaiki air apabila Sungai Juquery dan aliran Ribeirao Eusebio melimpah, manakala di Bauru, hujan menyebabkan lubang di tengah jalan raya akibat mendapan tanah. -AFP

Media Baharu