ROM, 9 Disember- Empat pesakit dilaporkan maut dalam kebakaran di hospital San Giovanni Evangelista di Tivoli, di luar Rom, pada Jumaat, lapor penyiar Rai News.
Menurut perkhidmatan bomba Itali, unit rawatan rapi, bilik kecemasan dan kawasan bilik mayat terjejas akibat kebakaran bermula jam 10.30 malam.
Mangsa kebakaran membabitkan dua lelaki berusia 76 dan 86 tahun serta dua wanita berusia 84 dan 86 tahun.
Rai News bagaimanapun melaporkan tidak jelas sama ada mangsa maut sejurus sebelum kebakaran atau dalam kebakaran.
Bedah siasat telah diarahkan ke atas semua mayat untuk mengenal pasti punca kematian.
Susulan kebakaran tersebut, lebih 130 pesakit, termasuk kanak-kanak dan bayi baru lahir, dipindahkan ke hospital lain di Lazio.
Pesakit lain telah dipindahkan ke gim perbandaran sebelum dibawa ke kemudahan lain, menurut Datuk Bandar Tivoli Giuseppe Proietti.
Kebakaran dilaporkan bermula dari ruang bawah tanah dan merebak dengan pantas ke bahagian lain hospital.
Kertas siasatan untuk mengetahui punca kebakaran telahpun dibuka.-AVN