fb fb fb fb fb

Hong Kong tolak laporan AS kritik tindakan keras terhadap kebebasan

(FOTO REUTERS)

HONG KONG, 1 April- Hong Kong hari ini dengan tegas menolak penemuan dalam laporan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa kepentingan AS terancam dan Beijing terus melemahkan kedaulatan undang-undang dan kebebasan di wilayah itu di bawah tindakan keras keselamatan negara.

Laporan Akta Dasar Hong Kong 2023 AS diterbitkan Jabatan Negara AS, berkata pihak berkuasa China dan Hong Kong 'terus menggunakan 'keselamatan negara' sebagai asas luas dan kabur bagi menjejaskan kedaulatan undang-undang serta hak dan kebebasan yang dilindungi'.

Laporan itu juga mencatatkan penurunan jumlah warga AS di Hong Kong daripada 85,000 pada 2021, kepada sekitar 70,000 akibat beberapa faktor, termasuk sekatan COVID-19 yang ketat dan keselamatan negara.

Dokumen itu juga menjelaskan, China semakin banyak menggunakan kuasa polis dan keselamatan di Hong Kong, menyebabkan warga AS yang mengkritik republik itu secara terbuka, berisiko ditahan, diusir atau didakwa di Hong Kong.

Empat puluh daripada 100 senator AS menaja bersama resolusi awal bulan ini, menggesa maklum balas kerajaan AS yang kuat terhadap sebarang usaha China bagi mengekang perbezaan pendapat di Hong Kong, termasuk penggunaan sekatan dan alat lain.

"Pihak berkuasa Hong Kong berterusan menahan dan mendakwa orang ramai kerana penyataan politik aman yang mengkritik kerajaan tempatan dan pusat, termasuk menyiar dan memajukan siaran media sosial," menurut laporan itu.

China menguatkuasakan undang-undang keselamatan negara ke atas Hong Kong pada Jun 2020, tanpa sebarang proses perundangan atau rundingan tempatan, melarang jenayah seperti subversif dengan kemungkinan dipenjara seumur hidup.

Pihak berkuasa berkata, keadaan selepas protes prodemokrasi yang berlarutan pada 2019, yang antara desakannya ialah demokrasi penuh, dipulihkan menerusi undang-undang berkenaan.

Rejimen keselamatan lebih ketat di bandar itu dengan Presiden China, Xi Jinping melaksanakan tindakan keras terhadap perbezaan pendapat sejak sedekad lalu, memenjarakan pengkritik dan pembela hak asasi manusia.

Jurucakap kerajaan Hong Kong menerusi kenyataan, menjelaskan 'sangat tidak bersetuju dan tegas menolak kenyataan tidak berasas serta putar belit fakta' dalam laporan berkenaan.

Katanya, tugasan menjaga keselamatan negara adalah 'kepentingan utama' dan semua pihak tertakluk di bawah undang-undang, tanpa mengira pendirian atau latar belakang politik.

"Cubaan AS menjejaskan kestabilan dan kemakmuran Hong Kong hanya akan mendedahkan kelemahan dan hujah salah, selain ditakdirkan untuk gagal," katanya.

Lebih 230 orang ditahan susulan dakwaan tindakan membahayakan keselamatan negara sejak 2020, termasuk 47 demokrat terkemuka yang kini memerangi tuduhan konspirasi subversif dalam perbicaraan penting yang akan berterusan selama beberapa bulan. - REUTERS


(Seorang penyokong bergelut dengan polis di bangunan Mahkamah Majistret Kowloon Barat
semasa perbicaraan ke atas 47 aktivis pro-demokrasi yang didakwa dengan konspirasi
melakukan 
subversif di bawah undang-undang keselamatan negara/ REUTERS)

Media Baharu