fb fb fb fb fb

Hizbullah lancar puluhan roket ke utara Israel, tindak balas kematian Fuad Shukr

Serangan udara Israel ke atas bandar Shamaa (Chamaa) di selatan Lubnan pada 1 Ogos 2024/ AFP

BEIRUT, 2 Ogos- Berpuluh-puluh roket dilancarkan Hizbullah ke utara Israel sebagai tindak balas terhadap serangan rejim zionis di selatan Lubnan yang membunuh komander tertingginya Fuad Shukr, Selasa lalu.

Hizbullah dalam kenyataan berkata puluhan roket Katyusha dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan Israel ke atas kampung selatan Shama yang turut menyebabkan sejumlah orang awam terbunuh.

Semalam, Kementerian Kesihatan Lubnan berkata empat rakyat Syria terbunuh dalam serangan Israel di bahagian selatan. 

Menurut kementerian itu, jumlah kematian dijangka meningkat selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan. Tambahnya, serangan itu turut mencederakan lima warga Lubnan.

Perkhidmatan kecemasan memberitahu AFP bahawa mangsa yang maut adalah petani dan sebahagiannya mempunyai hubungan keluarga.

Kepulan asap dari lokasi serangan, dua bangunan berhampiran rosak serta mengakibatkan kenderaan hangus.

Serangan itu merupakan serangan pertama Hizbullah sejak serangan udara Israel yang membunuh komander tertingginya Fuad Shukr pada Selasa lalu.

Pemimpin Hizbullah Hassan Nasrallah berkata operasi akan disambung semula pada pagi ini. Beliau memberi amaran bahawa kumpulannya pasti akan bertindak balas terhadap pembunuhan Shukr.

Kematian komander tertinggi Hizbullah pada Rabu lalu, disusuli dengan insiden pembunuhan Ketua Hamas Ismail Haniyeh dalam serangan di Tehran, Iran.

Hizbullah dan Israel berbalas tembakan hampir setiap hari sejak konflik Israel-Hamas pada Oktober lalu.

Menurut pengiraan AFP, sekurang-kurangnya 542 orang terkorban di Lubnan, kebanyakannya pejuang, termasuk 114 orang awam.-AFP

ROSLINA BINTI DIN