fb fb fb fb fb

Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh dikebumikan di Qatar

Gambar Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dipegang semasa protes di Beirut/ AFP

DOHA, 2 Ogos- Qatar akan mengadakan upacara pengebumian pada Jumaat untuk pemimpin Hamas Ismail Haniyeh selepas pembunuhannya dalam serangan kejam dilakukan rejim Zionis Israel.

Ismail Haniyeh menetap di Doha bersama-sama dengan ahli-ahli pejabat politik Hamas yang lain.

Dia akan dikebumikan di tanah perkuburan di Lusail, utara ibu negara Qatar, selepas solat jenazah di masjid Imam Muhammad bin Abdul Wahhab.

Hamas berkata "pemimpin Arab dan Islam" serta wakil Palestin dan orang ramai akan menghadiri pengebumian tersebut.

Ismail Haniyeh dan seorang pengawal peribadi terbunuh dalam serangan di penginapan mereka di Tehran awal Rabu, kata Pengawal Revolusi Iran.

Ismail Haniyeh ke Iran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Selasa.

Pembunuhan pemimpin Hamas itu berlaku hanya beberapa jam selepas Israel menyerang pinggir selatan Beirut, yang mengorbankan Fuad Shukr, komander tentera kumpulan  Lubnan yang bersekutu Hamas, Hezbollah.

Pembunuhan itu adalah yang terbaru daripada beberapa insiden yang telah mencetuskan ketegangan serantau semasa perang Gaza.

Sementara itu, Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei memimpin doa untuk Ismail Haniyeh. 

Ayatollah Ali Khamenei juga mahu "hukuman sekeras-kerasnya" dikenakan ke atas rejim zionis Israel.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI