BEIRUT, 10 Februari- Kumpulan pejuang Lubnan yang disokong Iran, Hizbullah berkata ia melepaskan puluhan roket ke arah kedudukan tentera di Dataran Tinggi Golan yang diduduki Israel semalam, beberapa jam selepas melancarkan salvo di utara Israel.
Serangan berlaku ketika Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian melawat Beirut, dan beberapa jam selepas Syria berkata ia menjatuhkan dua dron berhampiran Damsyik yang dikatakan memasuki ruang udaranya dari Golan.
Pejuang Hizbullah menyasarkan sebuah berek tentera Israel "di Golan Syria yang diduduki dengan berpuluh-puluh roket Katyusha", kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Ia telah mendakwa beberapa serangan lain disasarkan ke atas Israel termasuk "peralatan pengintip" dan kereta kebal.
Sejak meletusnya perang antara Israel dan Hamas pada 7 Oktober, sempadan Lubnan-Israel telah menyaksikan pertempuran hampir setiap hari antara Israel dan Hizbullah yang merupakan sekutu Hamas.
Hizbullah berkata ia melepaskan puluhan roket Katyusha ke utara Israel lewat Khamis sebagai tindak balas kepada serangan dron Israel yang menyebabkan seorang komander Hizbullah di bandar Nabatiyeh di selatan Lubnan mengalami kecederaan parah.
Tentera Israel berkata bahawa jet pejuang menyerang "tapak tentera" di mana pejuang Hizbullah beroperasi di Maroun al-Ras dan "kawasan tentera" di dua bandar lain di selatan Lubnan.
Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan pengeboman Israel di beberapa lokasi di selatan.
Selepas ketibaannya di Beirut semalam, Amir-Abdollahian berikrar bahawa Iran akan "terus menyokong kuat penentangan dan Lubnan".
"Kami menganggap keselamatan Lubnan sebagai keselamatan Iran dan rantau ini," katanya pada sidang akhbar.
Menteri Iran akan mengadakan rundingan hari ini dengan Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati dan pegawai tinggi lain.
Beberapa minggu kebelakangan ini telah menyaksikan aktiviti diplomatik yang bergelora di ibu negara Lubnan, kerana Britain, Perancis dan Jerman telah menghantar menteri luar mereka untuk merayu agar kembali bertenang di sempadan.
Kebimbangan semakin meningkat bahawa konflik Gaza mungkin mencetuskan perang besar antara Israel dan Hizbullah seperti tahun 2006.
Dalam tempoh empat bulan serangan di rentas sempadan menyaksikan sekurang-kurangnya 228 orang telah terbunuh di pihak Lubnan, kebanyakannya pejuang Hizbullah, termasuk 27 orang awam, menurut pengiraan AFP.
Di pihak Israel, 15 orang telah terbunuh, enam daripadanya orang awam, menurut tentera Israel.
Israel merampas Dataran Tinggi Golan dari Syria dalam Perang Enam Hari 1967 yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. -AFP