fb fb fb fb fb

Dua maut, jet peribadi terhempas ke lebuh raya Florida

Dua terbunuh semalam apabila sebuah jet peribadi dipercayai mengalami kerosakan pada enjin terhempas ke lebuh raya di Florida/ Foto: X JoeBlow_808

MIAMI, 10 Februari- Dua orang terbunuh semalam apabila sebuah jet peribadi dipercayai mengalami kerosakan pada enjin dan terhempas ke lebuh raya di Florida, kata pihak berkuasa.

Lima orang menaiki Bombardier Challenger 600 apabila ia jatuh kira-kira jam 3.15 petang (2015 GMT) di Interstate 75 berhampiran bandar kecil Naples, kata Pentadbiran Penerbangan Persekutuan di X.

Jurucakap lapangan terbang Robin King menerusi satu kenyataan berkata dua minit sebelum pesawat itu dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Perbandaran Naples, juruterbang menelefon kawalan trafik udara untuk memaklumkan "dia telah `kehilangan' kedua-dua enjin dan meminta untuk melakukan pendaratan kecemasan.

"Pengawal trafik udara segera memberi laluan untuk pesawat mendarat apabila juruterbang mengisytiharkan bahawa dia tidak akan sampai ke landasan ... (dan) cuba mendarat di I-75."

Tiga orang terselamat dalam nahas itu, kata King. Kedua-dua mangsa maut akibat impak, kata Pejabat Sheriff Collier County ketika mengesahkan insiden itu.

Tidak diketahui sama ada pesawat itu melanggar mana-mana kereta di lebuh raya.

Imej yang disiarkan di media tempatan menunjukkan serpihan pesawat yang terbakar di tepi lebuh raya, menimbulkan kepulan asap hitam.

Ia telah berlepas dari Lapangan Terbang Ohio State University, kata King.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan akan menyiasat nahas itu. -AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI