fb fb fb fb fb

Israel sasar bangunan kediaman di Syria - Pemerhati perang

Seorang kanak-kanak Syria berdiri di dalam timbunan ranting kayu yang digunakan untuk memasak, di kem Al-Younani di pinggir bandar utara Raqa/ AFP

BEIRUT, 10 Februari- Israel melancarkan serangan yang menyasarkan sebuah 'bangunan kediaman' di barat ibu negara Syria, Damascus, awal pagi tadi, menurut kumpulan pemantau perang.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain, yang memiliki rangkaian sumber meluas di Syria, melaporkan bunyi 'letupan kuat', termasuk di kawasan Dimas dekat wilayah Damascus.

Serangan itu, katanya, berlaku selepas kawasan berhampiran lapangan terbang ketenteraan di barat Damascus dibedil peluru berpandu, semalam, manakala Kementerian Pertahanan memaklumkan, beberapa dron memasuki ruang udara Syria dari arah Bukit Golan.

Kumpulan itu turut menyatakan, 'kawasan lapangan terbang ketenteraan Mazzeh di barat ibu negeri Damascus disasarkan', namun tidak menyatakan pihak yang bertanggungjawab bagi serangan 'peluru berpandu' itu.

Selain itu, katanya, 'terdapat kedudukan Hezbollah Lebanon dan kumpulan pro-Iran lain' di kawasan berkenaan.

Media tempatan Syria bagaimanapun tidak melaporkan sebarang kejadian terbabit serta-merta.

Israel sebelum ini, melancarkan ratusan serangan udara ke atas Syria sejak perang saudara meletus di negara itu pada 2011, terutama bagi menyerang pasukan disokong Iran, termasuk pejuang Hezbollah serta kedudukan tentera Syria.

Namun, Israel meningkatkan kempen menentang negara jirannya itu sejak peperangan di Gaza bermula pada 7 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan dalam kenyataan berkata, dua dron memasuki ruang udara Syria dari arah Bukit Golan, kira-kira jam 2.10 petang semalam.

"Sistem pertahanan udara menembak jatuh dron terbabit di barat Damascus," katanya.

Kedua-dua sumber tidak memaklumkan pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian terbabit dan rejim Zionis ketika dihubungi AFP enggan mengulas kejadian berkenaan. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI