PHNOM PENH, 9 Februari- Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun telah meninggal dunia di Kemboja akibat selesema burung.
Menurut Kementerian Kesihatan Kemboja, mangsa yang mengalami demam, batuk dan kesukaran untuk bernafas telah dikejarkan ke hospital selepas makan ayam.
"Mangsa disahkan meninggal dunia akibat virus tersebut.
"Lima ekor ayam dan tiga ekor itik telah mati di rumah pesakit.
"Keluarga berkenaan sebelum itu telah memasak ayam dan itik untuk dimakan.
"Orang ramai diminta supaya terus berwaspada terhadap selesema burung kerana ia akan terus mengancam kesihatan rakyat," menurut kenyataan tersebut.
Tambahnya, pegawai kesihatan sedang menyiasat insiden terbabit dan mencari lebih banyak kes.
Sekurang-kurangnya tiga orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia akibat selesema burung tahun lalu.
Sejak akhir 2021, Eropah telah dilanda wabak selesema burung yang paling teruk dengan Amerika Utara dan Selatan turut mengalami peningkatan kes itu. - AFP