fb fb fb fb fb

Hina Nabi: Mahkamah mahu pemimpin politik India mohon maaf  

(FOTO AFP)

NEW DELHI, 1 Julai- Mahkamah Tinggi India mahu pemimpin parti kerajaan Bharatiya Janata (BJP) yang mengeluarkan kenyataan menghina junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W sehingga mencetuskan perbalahan politik, kritikan dan bantahan meluas perlu memohon maaf.

Ia kerana, kenyataan itu juga telah menyebabkan India ‘dikecam’ sekali gus memberi kesan kepada hubungan diplomatik.

Bulan lalu komuniti Islam di seluruh dunia mengencam kenyataan Nupur Sharma mengenai kehidupan Nabi Muhammad S.A.W yang berbaur kebencian semasa debat di televisyen.

Susulan itu hampir 20 negara memanggil duta India masing-masing untuk mendapatkan penjelasan.

Perhimpunan dan protes turut tercetus di sekitar Asia Selatan, sehingga menyebabkan dua penunjuk perasaan terbunuh akibat tindakan keras polis India dan minggu ini dua lelaki dituduh membunuh seorang tukang jahit beragama Hindu yang menyatakan sokongan kepada Sharma menerusi status di Facebooknya.

“Dia (Sharma) yang mengeluarkan kenyataan tidak berhati-hati menyebabkan negara (India) dikecam,” kata Mahkamah Agung India semasa prosiding pendengaran kes aduan jenayah yang difailkan terhadap Sharma.

“Wanita ini bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku di negara ini dan harus meminta maaf kepada seluruh negara."

Polis menerima banyak aduan daripada orang awam sejak Sharma membuat kenyataan berbaur kebencian itu.


(Penduduk membakar gambar PM India, Narendra Modi dan bekas Jurucakap Parti BJP,
Nupur Sharma ketika protes di Karachi pada 26 Jun 2022/AFP)

Meskipun lokasi wanita berusia 37 tahun itu tidak diketahui, peguamnya yang berada di mahkamah meminta supaya ke semua kes itu disatukan di New Delhi, permintaan yang dinafikan mahkamah pada Jumaat.

Pada satu ketika, Sharma dilihat sebagai bintang politik yang semakin bersinar dalam BJP tetapi kenyataan berbaur penghinaan itu, hanya menyebabkan namanya tercemar.

BJP kemudian menggantung jurucakap itu daripada jawatannya dan menjelaskan bahawa parti menghormati semua agama.

Sejak BJP berkuasa pada 2014, bawah pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi, parti itu dikatakan sering memperjuangkan dasar diskriminasi terhadap penganut agama Islam di India.

Pengkritik juga mengatakan bahawa kerajaan telah mengizinkan tindakan keras terhadap mereka yang memperjuangkan kebebasan bersuara dan aktivis hak asasi manusia.

Isnin lalu, polis menahan wartawan Mohammed Zubair, yang dilihat lantang menentang kerajaan selain membantu menarik perhatian umum terhadap kenyataan Sharma. -AFP

Media Baharu