fb fb fb fb fb

Hilang di hutan Amazon, polis temukan barangan milik wartawan British

(Pasukan mencari dan penyelamat berusaha mencari Wartawan Britain, Dom Philips dan
pakar pribumi, Bruno Pereira hilang di hutan hujan Amazon minggu lalu/FOTO REUTERS)

ATALAIA DO NORTE, 13 Jun - Polis Brazil menemukan beberapa barang milik wartawan Britain, Dom Philips dan pakar pribumi, Bruno Pereira yang hilang di hutan hujan Amazon pada minggu lalu.

Menurut kenyataan polis, pasukan mencari dan menyelamat menemukan pakaian milik Pereira dan kad pengenalan kesihatannya, selain beg galas kepunyaan Philips bersama kasut but mereka.

Anggota bomba pula memaklumkan, beg galas Equinox mengandungi pakaian dan komputer riba ditemui terikat pada batang pokok yang separuh tenggelam di kawasan berkenaan.

(Pegawai polis dan pasukan penyelamat menjalankan operasi
mencari wartawan British Dom Phillips dan pakar pribumi Bruno Pereira di tengah hutan hujan Amazon/FOTO REUTERS)

Terdahulu, Elizeu Mayaruna, pekerja agensi Orang Asli Funai, memberitahu dia menemukan pakaian, kain kanvas dan sebotol minyak enjin di hutan sepanjang sungai Itacoai, pada Sabtu lalu.

Saksi berkata, mereka melihat Pereira dan Phillips, yang juga seorang wartawan bebas yang menulis untuk akhbar Guardian dan Washington Post, menyusuri sungai itu Ahad lalu.

Kedua-dua lelaki itu sedang membuat liputan di kawasan hutan terpencil berkenaan yang terletak berhampiran sempadan dengan Peru dan Colombia yang turut dihuni penduduk Orang Asli terbesar di dunia.

Setakat ini, kerajaan Brazil masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan semua penemuan barang milik Philips dan Pereira. - AFP

Media Baharu