fb fb fb fb fb

Hezbollah dan Israel berbalas serangan di sempadan

Asap tebal memenuhi daerah Labouneh, Lubnan susulan serangan Israel di sempadan Lubnan-Israel/FOTO AFP

BEIRUT, 19 November - Hezbollah dan Israel dilaporkan berbalas serangan dengan melancarkan roket dan peluru berpandu berdekatan sempadan Israel-Lubnan pada Sabtu, kata jurucakap kedua belah pihak.

Keganasan terbaharu itu menimbulkan kebimbangan Amerika Syarikat (AS) yang bimbang kemungkinan konflik tersebut bakal merebak ke seluruh Asia Barat.

Kumpulan pejuang Hezbollah yang disokong oleh Iran mendakwa telah menembak jatuh dron Israel di sempadan pada awal pagi. Sementara Israel pula mendakwa telah berjaya memintas peluru berpandu yang dihalakan kepada drone milik tenteranya.

Pihak Reuters pula tidak dapat mengesahkan kenyataan kedua-dua pihak bertelagah itu.

Sementara itu, pegawai tertinggi Lubnan pula berkata serangan udara Israel telah memusnahkan sebuah bangunan yang terletak di kawasan perindustrian dekat bandar Nabatieh.

Serangan berkenaan merupakan serangan paling besar yang dilancarkan Israel ke wilayah Lubnan sejak perang meletus bulan lalu.

Salah seorang pegawai Lubnan, Hani Kobeissy menunjukkan video yang memaparkan lawatannya ke sebuah gudang aluminium yang dibom tentera Israel.

Israel telah melancarkan serangan kepada pejuang Hezbollah sejak perang Gaza bermula dan setakat ini telah mengorbankan 70 pejuang dan 10 orang awam.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD