DOHA, 7 Oktober – Israel perlu menghentikan operasi ketenteraannya di Gaza selaras dengan pelan damai yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari menegaskan ia sepatutnya dilaksanakan serta merta jika Tel Aviv benar-benar menyokong pelan tersebut.
“Berhubung gencatan senjata, soalan ini sepatutnya ditujukan kepada kerajaan pendudukan Israel. Mereka sepatutnya telah menghentikan serangan jika benar kenyataan Perdana Menteri Israel mengenai sokongan terhadap pelan Trump,” kata Ansari dalam sidang media di Doha, hari ini.
Hamas dan Israel ketika ini sedang mengadakan rundingan tidak langsung di Mesir, membincangkan pelan 20 perkara yang diajukan oleh Trump bagi menamatkan konflik di Gaza dan merangka pelan pentadbiran pasca perang.
Jumaat lalu, Hamas bersetuju untuk membincangkan isu pembebasan tebusan berdasarkan pelan tersebut.
Trump juga menyeru Israel agar segera menghentikan serangan udara di Gaza bagi memastikan keselamatan proses pembebasan tersebut.