DHAKA, 8 Januari- Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina mempertahankan jawatan buat penggal kelima.
Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya berkata, Liga Awami yang dianggotai Hasina diumumkan memenangi Pilihan raya Umum Bangladesh, walaupun peratusan keluar mengundi amat rendah iaitu dianggarkan kurang 40 peratus.
Parti Liga Awami memenangi tiga perempat atau sekurang-kurangnya, 220 daripada 300 kerusi parlimen yang dipertandingkan.
Hasina yang menerajui negara itu dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi yang pesat di negara yang dilanda kemiskinan, juga didakwa melakukan pencabulan hak asasi manusia yang berleluasa dan tindakan kejam terhadap pembangkang.
Pilihan raya Umum Bangladesh, berlangsung semalam tanpa penyertaan parti pembangkang.
Parti Liga Awami tidak menghadapi saingan di kerusi yang ditandinginya, tetapi ia mengelak meletakkan calon di beberapa kawasan pilihan raya, dalam usaha untuk mengelakkan badan perundangan dilabelkan sebagai institusi satu parti.
Sementara itu, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), telah melancarkan mogok umum dan enggan menyertai "pilihan raya palsu".
Proses pengiraan undi masih belum selesai. Keputusan rasmi dijangka diketahui hari ini.
Sokongan ahli parlimen lain termasuk daripada parti bersekutu boleh mendorong penguasaan Hasina ke atas parlimen.
Hasina, 76, menyeru rakyat supaya menunjukkan kepercayaan terhadap proses demokrasi.
"Saya cuba sedaya upaya untuk memastikan demokrasi perlu diteruskan di negara ini", katanya.
Sementara itu, Ketua BNP Tarique Rahman, yang kini dalam buangan berada Britain memberitahu kebimbangannya mengenai undi palsu akan digunakan untuk meningkatkan jumlah pengundi.
"Apa yang berlaku bukanlah pilihan raya, sebaliknya memalukan aspirasi demokrasi Bangladesh," tulisnya di media sosial, mendakwa dia telah melihat gambar dan video yang menyokong dakwaannya.
BNP dan parti lain mengadakan protes selama berbulan-bulan tahun lalu, menuntut Hasina berundur sebelum pilihan raya berlangsung.
Pegawai pilihan raya berkata pengundian sebahagian besarnya lancar, dengan hampir 800,000 pegawai polis dan tentera dikerahkan di seluruh negara.