JAKARTA, 8 Januari- Menteri Pertahanan Indonesia yang menjadi calon Presiden Indonesia, Prabowo Subianto 'diserang' secara bertubi-tubi dalam perbahasan pilihan raya pada Ahad.
Dua saingannya mengkritik hebat strategi perolehan tenteranya sebagai Menteri Pertahanan, yang dilabelkan sebagai tergesa-gesa dan membazir.
Prabowo, bekas komander pasukan khas, telah mendahului tinjauan pendapat dalam pilihan raya 14 Februari depan, namun usaha pemodenan ketenteraannya terus mendapat kritikan dalam pertemuan kedua di televisyen berkenaan keselamatan dan geopolitik.
Saingannya, bekas Gabenor Jakarta Anies Baswedan mengecam rancangan Prabowo untuk mendapatkan peralatan ketenteraan terpakai, termasuk armada jet pejuang Mirage 2000-5 dari Qatar dan menuduh Kementerian Pertahanan gagal melindungi daripada penggodam tahun lalu dan mengancam untuk membocorkan maklumat sulit.
"Ironinya, Kementerian Pertahanan telah digodam," kata Anies. "Bajet 700 trilion rupiah ($45.13 bilion) tidak boleh digunakan untuk membendung insiden itu, sebaliknya, peruntukan tersebut digunakan untuk membeli peralatan tentera terpakai", katanya.
Sementara itu, calon parti pemerintah Ganjar Pranowo berkata perjanjian jet itu, yang telah ditangguhkan oleh kerajaan kerana isu bajet dan menyifatkan ia "perancangan melulu".
Prabowo menjelaskan strategi untuk membeli perkakasan pertahanan terpakai sebagai penting dalam memodenkan angkatan tentera, sambil menambah jet berusia 15 tahun itu mempunyai jangka hayat 25 hingga 30 tahun.
"Penjelasan mengenai penggunaan peralatan terpakai, saya rasa mengelirukan. Yang penting ialah waktu penerbangan," katanya.
"Sebenarnya kami memerlukan peralatan untuk menampung keperluan semasa," katanya sambil menambah jet baharu mengambil masa lebih lama untuk tiba.
Prabowo berkata Indonesia memerlukan teknologi lebih baik untuk mempertahankan wilayahnya, manakala Anies berkata ia harus menjadi pemimpin dominan dalam Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), untuk memastikan kedudukan bersama.-REUTERS