SUZU, 8 Januari- Angka korban akibat gempa bumi yang berlaku di Jepun pada tahun baharu meningkat kepada 161 orang berbanding 128 orang semalam.
Menurut pihak berkuasa di wilayah Ishikawa, jumlah mangsa yang masih hilang adalah seramai 103 orang dalam kejadian kejadian gempa yang berukuran 7.5 magnitud. Usaha menyelamat menjadi lebih sukar kerana keadaan bersalji.
Insiden itu menyebabkan bangunan runtuh, mencetuskan kebakaran dan gelombang tsunami setinggi lebih satu meter.
Ribuan anggota penyelamat dari seluruh negara itu giat menjalankan operasi menyelamat dan berdepan dengan situasi sukar akibat jalan raya terputus serta dianggarkan berlakunya 1,000 kejadian tanah runtuh.
Operasi menjadi lebih sukar dalam tempoh dua hari lalu, apabila wilayah itu dilanda salji tebal.
Dalam pada itu, seorang wanita berusia 90 tahun berjaya diselamatkan oleh anggota penyelamat selepas lima hari berada di bawah runtuhan rumah di bandar Suzu di Semenanjung Noto yang terjejas teruk.
Manakala, di bandar Anamizu, seorang lelaki berusia 52 tahun sedang menunggu berita tentang tentang ahli keluarganya yang dikhuatiri masih hilang.
"Saya mahu mereka masih hidup. Tidak terfikir saya bersendirian," katanya kepada NHK.
Cuaca yang lebih sejuk juga memburukkan lagi keadaan bagi lebih 28,800 orang yang berlindung di lebih 400 pusat perlindungan kerajaan.
Kerajaan negara itu memberi amaran bahawa hujan berterusan telah meningkatkan risiko tanah runtuh, manakala salji tebal boleh menyebabkan lebih banyak bangunan runtuh.
Sekurang-kurangnya 2,000 orang di daerah terpencil telah terputus hubungan kerana jalan yang rosak, serta kira-kira 1,000 kejadian tanah runtuh turut menghalang kenderaan bantuan.
Ini bermakna barangan bantuan lambat sampai ke kawasan yang mengalami gangguan bekalan air dan bekalan elektrik.
Kira-kira 20,700 isi rumah di wilayah Ishikawa terjejas bekalan elektrik serta lebih 66,100 isi rumah tidak mempunyai bekalan air.
Sementara itu, Perdana Menteri Fumio Kishida berkata usaha menyelamatkan mangsa di bawah runtuhan adalah menjadi keutamaan serta mereka yang berada di kawasan terpencil.
"Tentera telah menghantar kumpulan kecil anggotanya ke setiap daerah terpencil dengan berjalan kaki", katanya.
"Kerajaan juga telah mengerahkan helikopter polis dan bomba untuk memberi bantuan kepada mangsa", tambah Kishida.
Jepun mengalami ratusan gempa bumi setiap tahun. Bagaimanapun, kebanyakannya tidak menyebabkan kerosakan kerana peraturan bangunan yang ketat selama lebih empat dekad.
Banyak bangunan lama terutamanya di kawasan luar bandar seperti Noto.
Negara itu telah dilanda gempa bumi dahsyat pada 2011 yang mencetuskan tsunami, menyebabkan lebih 18,000 kematian atau hilang serta malapetaka nuklear di loji Fukushima.-AFP