fb fb fb fb fb

Dua lagi wartawan Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Gaza

Foto fail/AFP)

GAZA, 8 Januari- Dua wartawan Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Gaza.

Menurut Al-Jazeera, wartawan yang terlibat Hamza Wael Dahdouh dan Mustafa Thuria, terkorban ketika mereka dalam perjalanan untuk menjalankan tugas untuk saluran itu. Selain itu, seorang lagi wartawan bebas Hazem Rajab, turut cedera parah.

Al Jazeera dalam satu kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya pasukan pendudukan Israel yang menyasarkan kereta wartawan Palestin dan mendakwa Israel menyasarkan wartawan serta melanggar prinsip kebebasan media.

"Thuria dan Hamza Wael Dahdouh telah ditugaskan untuk membuat penggambaran selepas serangan di sebuah rumah di Rafah dan kereta mereka dilanggar semasa mereka dalam perjalanan pulang", kata wartawan AFP.

Kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas juga mengesahkan kematian tersebut dan menyalahkan serangan Israel.

Sementara itu, saksi memberitahu AFP bahawa dua roket dilepaskan ke arah kereta itu, satu mengenai bahagian hadapan kenderaan dan satu lagi mengenai Hamza yang duduk di sebelah pemandu.

"Kami kemudian menjumpai bahagian mayat di dalam kereta.

"Ambulans kemudian datang dan membawa mereka yang berada di dalam kereta," seorang saksi, yang enggan dikenali atas sebab keselamatan, memberitahu AFP.

Rakaman video AFP menunjukkan orang ramai memeriksa mayat dan kereta itu yang hancur, manakala darah berlumuran di atas jalan. Tiada kerosakan lain kelihatan di lokasi kejadian itu.

Dalam pada itu, bapa wartawan Hamza, yang juga Ketua Biro Al Jazeera di Gaza, Wael al-Dahdouh baru-baru ini cedera dan isteri serta dua lagi anaknya terbunuh dalam serangan Israel.

“Hamza adalah segala-galanya bagi saya, sedangkan kita penuh dengan kemanusiaan mereka (Israel) penuh dengan pembunuhan dan kebencian,” kata Dahdouh di televisyen Al Jazeera.

Orang ramai berkumpul semasa pengebumian. Beliau yang menangis dilihat mencium tangan anak lelakinya yang terkorban.

"Dunia harus melihat dengan dua mata, bukan dengan mata Israel. Mereka sepatutnya melihat segala-galanya berlaku kepada rakyat Palestin," kata Dahdouh.

"Apa yang Hamza lakukan kepada mereka (orang Israel)? Apa yang keluarga saya lakukan kepada mereka? Apa yang orang awam lakukan kepada mereka? Mereka tidak melakukan apa-apa kepada mereka, tetapi dunia menutup matanya terhadap apa yang berlaku di Gaza."

Al Jazeera sebuah saluran televisyen yang berpangkalan di Qatar telah kehilangan tiga wartawan sejak bermulanya konflik Israel-Hamas pada Oktober lalu.

Jawatankuasa Melindungi Wartawan berkata sekurang-kurangnya 79 wartawan dan petugas media yang majoritinya rakyat Palestin, terbunuh sejak permulaan konflik Palestin-Israel.-AFP

ROSLINA BINTI DIN