fb fb fb fb fb

Harga bahan bakar melonjak di Kenya selepas subsidi dipotong

 (Foto hiasan)

NAIROBI, 15 September - Harga bahan bakar di Kenya melonjak ke paras tertinggi selepas kerajaan baharu mengurangkan subsidi, sekali gus menambah kesengsaraan bagi penduduk yang sudah berdepan kesukaran ekonomi yang mendalam.

Harga petrol meningkat sebanyak 20 syiling Kenya kepada 179.30 syiling (kira-kira AS$1.50) seliter manakala harga diesel dan minyak tanah masing-masing naik 20 dan 25 syiling, kata Pihak Berkuasa Kawal Selia Tenaga dan Petroleum (EPRA).

Rejim harga baharu yang akan kekal berkuat kuasa hingga 14 Oktober diumumkan selepas Presiden baharu Kenya, William Ruto berikrar untuk membatalkan subsidi makanan dan bahan bakar.

(Harga bahan bakar melonjak di Kenya selepas subsidi dipotong/Google)

"Campur tangan yang dilakukan tidak membuahkan hasil," kata Ruto dalam ucapan pertamanya sebagai Presiden.

Kenya yang bergelut dengan lonjakan harga minyak mentah global, tahun lepas memperkenalkan langkah-langkah untuk melindungi pengguna daripada harga runcit yang tinggi.

Ia setakat ini membelanjakan 144 bilion syiling (AS$1.2 bilion), kira-kira 86% daripada pendapatan pelancongan tahun ini untuk subsidi bahan bakar, menurut angka kerajaan.

Ruto membidas dasar Presiden terdahulu, Uhuru Kenyatta dengan mengatakan ia melahap berbilion syiling tanpa kesan.

"Selain sangat mahal, campur tangan subsidi penggunaan terdedah kepada penyalahgunaan, ia memesongkan pasaran dan mewujudkan ketidaktentuan, termasuk kekurangan buatan bagi produk yang disubsidi," katanya.

Bawah harga baharu yang diumumkan EPRA, subsidi untuk petrol telah dihapuskan manakala bagi diesel dan minyak tanah telah dikurangkan. -AFP

Media Baharu