fb fb fb fb fb

Hampir 50 mayat ditemukan dalam kubur besar di Congo - PBB

(FOTO FAIL/ AFP)

NEW YORK, 19 Januari- Pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menemukan hampir 50 mayat orang awam dalam kubur besar di timur Republik Demokratik Congo, selepas beberapa siri serangan didakwa dilakukan kumpulan bersenjata.

Semua mayat itu ditemukan ketika pasukan pengaman PBB sedang membuat rondaan di wilayah bermasalah Ituri, susulan serangan ganas disyaki oleh militan CODECO.

Timbalan jurucakap PBB, Farhan Haq, berkata pasukan pengaman PBB melaporkan mengenai kewujudan kubur besar yang mengandungi 42 mayat orang awam, termasuk 12 wanita dan enam kanak-kanak yang ditemukan di kampung Nyamamba.

"Satu lagi kubur turut ditemui di kampung Mbogi, yang mengandungi tujuh mayat lelaki," katanya.

Susulan penemuan itu, Haq menggesa siasatan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada kubur berkenaan berkait dengan serangan kumpulan militan.

"Monusco menyokong sistem kehakiman Congo untuk menyiasat serangan terbabit dan menggesa pihak bertanggungjawab di bawa ke muka pengadilan," katanya, merujuk kepada operasi pengaman PBB di negara itu.

Wilayah Ituri yang bersempadan dengan Uganda, merekodkan beberapa kes keganasan sejak beberapa minggu lalu, selepas pembunuhan seorang guru daripada komuniti Lendu mencetus serangan balas militan CODECO, yang mendakwa mewakili kumpulan etnik berkenaan.

Komuniti Lendu dan Hema bersengketa sejak sekian lama, menyebabkan ribuan kematian antara 1999 hingga 2003, sebelum campur tangan pasukan tentera pengaman Eropah.

Namun, insiden keganasan kembali berulang pada 2017 susulan kemunculan CODECO. Militan Zaire pula mendakwa mewakili komuniti Hema.

Aktivis hak asasi manusia di Ituri, Dieudonne Lossa, mendakwa lebih 80 orang awam terbunuh di wilayah itu sejak awal bulan ini.

Pada masa sama, Haq memberi amaran kemungkinan keadaan di rantau itu bertukar menjadi lebih buruk, dan memaklumkan sekurang-kurangnya 195 orang awam terbunuh, 68 cedera dan 84 diculik dalam serangan didakwa didalangi CODECO dan kumpulan bersenjata Zaire. - AFP


(Polis Congo menyuraikan penunjuk perasaan yang menggesa pihak berkuasa membanteras
serangan pengganas yang meragut banyak nyawa orang awam, di Goma, wilayah Kivu Utara, Congo/ REUTERS)

Media Baharu