fb fb fb fb fb

Hampir 100 terbunuh dalam letupan lori tangki di Nigeria

Foto: AFP

KANO, 16 Oktober- Satu letupan lori tangki bahan api di utara Nigeria telah mengakibatkan hampir 100 orang terbunuh dan 50 orang lagi cedera, kata polis hari ini.

Jurucakap polis, Lawan Shiisu Adam memberitahu AFP kebanyakan mangsa itu dikatakan cuba mengutip bahan api yang tertumpah di jalan raya selepas lori tangki itu mengalami kemalangan di utara negeri Jigawa lewat semalam.

Katanya, lori tangki itu telah terbabas selepas melencongkan laluannya bagi mengelak daripada bertembung dengan lori dalam kejadian di bandar Majia.

"Setakat ini kami mengesahkan 94 orang maut dan kira-kira 50 lagi cedera," katanya yang menjangkakan angka kematian mungkin meningkat.

Susulan kemalangan itu, penduduk berkerumun di sekeliling kenderaan itu, mengutip minyak yang tertumpah di jalan raya dan di dalam longkang.

Beliau berkata penduduk tidak menghiraukan pegawai yang cuba menghalang mereka.

Dalam pada itu, Persatuan Perubatan Nigeria menggesa doktor untuk bergegas ke unit kecemasan untuk membantu menangani kemasukan pesakit yang ramai.

Letupan lori tangki bahan api adalah perkara biasa di negara paling ramai penduduk di Afrika, di mana jalan raya tidak diselenggara dengan baik dan penduduk sering menghampiri kenderaan yang kemalangan bagi menyedut sisa bahan api yang tertumpah.

Bahan api menjadi komoditi yang lebih berharga apabila Nigeria mengalami krisis ekonomi terburuk dalam satu generasi.

Harga petrol melonjak lima kali ganda sejak Presiden Bola Ahmed Tinubu membatalkan subsidi tahun lalu dan sering berlaku gangguan bekalan.

Keadaan terdesak diburukkan lagi sejak minggu lalu selepas syarikat minyak negeri itu menaikkan harga buat kali kedua dalam tempoh lebih sebulan.

Kemalangan membabitkan lori tangki kerap berlaku di Nigeria dengan Suruhanjaya Keselamatan Jalan Raya Persekutuan (FRSC) merekodkan 1,531 kemalangan pada 2020 yang menyebabkan 535 kematian.

Bulan lalu, sekurang-kurangnya 59 orang maut apabila sebuah lori tangki bahan api bertembung dengan trak yang membawa penumpang dan lembu di negeri barat laut Niger.

FRSC berkata lebih 5,000 orang maut dalam kemalangan jalan raya di Nigeria pada 2023, berbanding hampir 6,500 pada tahun sebelumnya.

Namun menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), angka itu tidak termasuk kemalangan yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa. Ia menganggarkan kematian tahunan kemalangan akibat jalan raya di Nigeria hampir 40,000 orang, kata agensi itu dalam laporan yang diterbitkan tahun lalu.

Kebakaran maut dan letupan juga berlaku di seluruh infrastruktur bahan api dan minyak di Nigeria, salah satu pengeluar minyak mentah terbesar di benua itu. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI