GAZA, 22 Mac-Hamas menuduh Amerika Syarikat (AS) memutarbelitkan kebenaran dengan menyatakan bahawa kumpulan pejuang Palestin itu memilih peperangan dengan Israel dan menolak untuk membebaskan tebusan.
"Dakwaan bahawa 'Hamas memilih peperangan daripada membebaskan tebusan' adalah satu penyelewengan fakta," kata Hamas dalam satu kenyataan sebagai tindak balas terhadap tuduhan jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, Brian Hughes, pada Selasa.
Hughes sebelum ini dilaporkan berkata Hamas boleh membebaskan tebusan untuk melanjutkan gencatan senjata tetapi sebaliknya memilih untuk menolak dan berperang."
Kumpulan pejuang Palestin itu menambah bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, "menolak inisiatif berkenaan dan sengaja mensabotaj demi kepentingan politiknya sendiri," merujuk kepada kritikan yang dihadapinya di Israel, termasuk daripada keluarga tebusan yang ditahan di Gaza.
Israel menyambung semula serangan udara ke atas Gaza pada Selasa sebelum menghantar semula tenteranya ke kawasan yang telah dikosongkan semasa pemberhentian pertempuran.
Tindakan itu berlaku selepas berminggu-minggu perbalahan dengan Hamas mengenai usaha melanjutkan gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 19 Januari.
Israel mendakwa bahawa kempen tenteranya adalah perlu untuk menekan Hamas agar membebaskan lebih ramai tebusan kira-kira 60 orang tebusan, sama ada hidup atau mati.
Sebaliknya, banyak keluarga tebusan mendesak supaya gencatan senjata diperbaharui, dengan menyatakan bahawa kebanyakan tebusan yang kembali dalam keadaan selamat berbuat demikian semasa tempoh gencatan senjata.
Dalam kenyataannya, Hamas menuduh Amerika Syarikat menyamakan "penceroboh dengan mangsa".
"Kenyataan AS sekali lagi menunjukkan keterlibatan sepenuhnya dalam serangan terhadap rakyat kami, serta pakatan mereka dengan penjajah dalam melakukan pembunuhan beramai-ramai, kebuluran, dan kepungan terhadap lebih dua juta rakyat Palestin di Gaza," kata kenyataan itu.-AFP.