fb fb fb fb fb

Hamas sifatkan pengiktirafan Britain, Kanada, Australia kemenangan besar Palestin

Dunia mula akui perjuangan Palestin selepas Britain, Kanada dan Australia iktiraf negara Palestin. Foto- AFP

GAZA, 22 September - Hamas menyifatkan tindakan Britain, Kanada dan Australia mengiktiraf negara Palestin sebagai kemenangan besar buat hak rakyat Palestin.

Seorang pegawai kanan Hamas, Mahmud Mardawi, berkata perkembangan itu membuktikan perjuangan rakyat Palestin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Perkembangan ini merupakan kemenangan bagi hak rakyat Palestin dan keadilan perjuangan kami, serta menghantar mesej jelas bahawa sejauh mana pun penjajahan melakukan jenayah, ia tidak akan mampu memadamkan hak kebangsaan kami,” katanya kepada AFP pada Ahad.

Dalam kenyataan berasingan, Hamas menegaskan pengiktirafan itu perlu disusuli dengan langkah praktikal.

Antara tindakan segera, menurut kenyataan itu, termasuk menghentikan “perang genosid” yang sedang dilancarkan terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza serta menentang tindakan Israel merampas tanah dan mengubah identiti Palestin di Tebing Barat serta Baitulmaqdis.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN