DEIR EL-BALAH, 8 Februari - Pejuang Hamas pada Sabtu menyerahkan tiga tebusan Israel dalam pertukaran kelima bawah gencatan senjata Gaza yang rapuh.
Seramai 183 tahanan Palestin yang ditahan di Israel dijadualkan dibebaskan kemudian pada hari sama.
Pertukaran itu dilakukan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mencadangkan untuk mengosongkan Semenanjung Gaza daripada penduduknya dan membiarkan AS mengambil alih wilayah itu satu cadangan yang mencetuskan kemarahan global dan ditolak Hamas.
Di Tel Aviv, orang ramai bersorak gembira sambil menyaksikan siaran langsung tiga tebusan yang dikawal dibawa ke pentas di Deir el-Balah sebelum diserahkan kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa.
Puluhan pejuang Hamas bersenjata membentuk kawalan ketat di sekitar kawasan terbuka pembebasan tebusan berlangsung.
Tiga tebusan yang dibebaskan dikenal pasti sebagai Eli Sharabi, Or Levy, dan Ohad Ben Ami.
Israel dan Hamas telah melaksanakan empat pertukaran tebusan sebelum ini bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata.
Setakat ini, Hamas telah membebaskan 18 tebusan sebagai pertukaran dengan kira-kira 600 tahanan Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel. - AFP