BEIJING, 8 Februari - Lebih 30 orang dilaporkan hilang selepas kejadian tanah runtuh melanda wilayah Sichuan di barat daya China pada Sabtu, menurut penyiar rasmi negara, CCTV.
CCTV melaporkan bahawa 10 buah rumah tertimbus di perkampungan Jinping selepas tanah runtuh berlaku kira-kira pukul 11.50 pagi waktu tempatan.
Orang ramai dinasihatkan agar mengelakkan kawasan tersebut kerana tanah runtuh masih berterusan, menurut penyiar negara itu yang memetik pasukan penyelamat di lokasi kejadian.
Presiden China, Xi Jinping, telah mengarahkan pihak berkuasa untuk melakukan "segala yang mungkin bagi mencari dan menyelamatkan mangsa yang hilang, mengurangkan jumlah korban, serta menguruskan kesan selepas bencana dengan baik".
Kementerian Pengurusan Kecemasan China dalam satu hantaran dalam talian menyatakan bahawa dua orang telah berjaya diselamatkan.
Pasukan tindak balas kecemasan sedang giat mencari mangsa yang terselamat, tambahnya.
Pihak berkuasa juga telah memperuntukkan dana sebanyak 30 juta yuan ($4.1 juta) bagi menyokong usaha bantuan bencana. - AFP