fb fb fb fb fb

Hamas sedia hadapi serangan Israel secara berhabis-habisan

Foto AFP

BAITULMAQDIS, 28 Oktober - Tentera Hamas bersedia untuk menghadapi serangan Israel secara berhabis-habisan selepas tentera Israel meluaskan serangan udara dan darat ke atas wilayah Palestin.

Kumpulan pejuang Palestin itu berkata sebelum ini mereka bertempur dengan tentera Israel di kawasan berhampiran sempadan dengan Israel sebelum Israel melaporkan serangan yang lebih intensif akan dilakukan di Gaza.

"Sebagai tambahan kepada serangan yang dilakukan dalam beberapa hari lepas, tentera darat memperluaskan operasi mereka malam ini," kata jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari dalam satu taklimat yang disiarkan di televisyen pada petang Jumaat.

Sayap bersenjata Hamas berkata pada lewat Jumaat pejuangnya bertempur dengan tentera Israel di bandar timur laut Gaza, Beit Hanoun dan di kawasan tengah Al-Bureij.

"Briged Al-Qassam dan semua pasukan penentangan Palestin bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pencerobohan (Israel) secara berhabis-habisan dan akan menggagalkan pencerobohannya," kata Hamas dalam satu kenyataan awal pada Sabtu.

“Netanyahu dan tenteranya akan tewas dan tidak akan dapat mencapai sebarang kemenangan,” kata Hamas merujuk kepada Perdana Menteri Israel.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN