fb fb fb fb fb

Suspek tembakan rambang di Maine ditemui mati

Foto suspek yang dikeluarkan Jabatan Polis Lewiston Maine/ REUTERS

MAINE, 28 Oktober- Lelaki yang disyaki terlibat dalam insiden tembakan rambang yang membunuh 18 individu di Maine pada Rabu lalu ditemui mati.

Mayat Robert R. Card, 40, ditemui ditemui mati berdekatan Lisbon, kira-kira 12 kilometer dari Lewiston tempat insiden tembakan itu berlaku.

Memetik laporan antarabangsa, suspek ditemui maut akibat luka tembakan di kepala, dipercayai kesan bunuh diri susulan insiden tersebut.

"Dia sudah mati," kata Gabenor Maine Janet Mills pada sidang akhbar sambil mengucapkan terima kasih kepada ratusan pegawai dari pelbagai agensi yang terlibat dalam pencarian.

"Seperti kebanyakan orang, saya boleh menarik nafas lega mengetahui bahawa Robert Card bukan lagi ancaman kepada sesiapa," kata Mills.

Pemburuan Card selama dua hari memaksa perintah perlindungan dilaksanakan dan penutupan sekolah serta perniagaan ketika penguatkuasa undang-undang memburunya selepas serangan Rabu lalu.

Insiden tembakan ini diklasifikasikan sebagai insiden pembunuhan beramai-ramai yang ke-36 di AS untuk tahun ini.

Card, seorang sarjan Simpanan Tentera dari bandar Bowdoin yang berdekatan, telah disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai seorang pengajar senjata api terlatih yang berkhidmat sebagai pakar bekalan petroleum ketika bertugas di pangkalan simpanan tentera di Saco, Maine.

Card sebelum ini diarah menjalani pemeriksaan perubatan selepas dia didapati menunjukkan tindak tanduk yang tidak menentu sejak pada pertengahan Julai.

Pihak berkuasa juga sudah mengesahkan 18 individu maut dengan melibatkan individu berusia 14 hingga 76 tahun.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI