OSLO, 29 September- Penerima Hadiah Nobel Keamanan tahun ini bakal diketahui pada 10 Oktober depan, apabila jawatankuasa Nobel di Norway mengumumkan pemenang anugerah paling berprestij dunia itu.
Bagi edisi 2025, seramai 338 individu dan organisasi dicalonkan, namun senarai penuh akan terus menjadi rahsia dan hanya boleh didedahkan selepas 50 tahun.
Setiausaha Jawatankuasa Nobel Norway, Kristian Berg Harpviken menjelaskan, proses pemilihan bermula dengan saringan awal sebelum senarai pendek dibawa kepada lima anggota jawatankuasa yang dilantik Parlimen Norway.
“Semua pencalonan sah disemak, kemudian disenarai pendek. Dari situ, kami minta pandangan pakar untuk menilai calon-calon tersebut sebelum jawatankuasa membuat keputusan,” katanya.
Menurut Harpviken, kriteria yang ditetapkan masih berlandaskan wasiat Alfred Nobel pada tahun 1895, iaitu memberi penghargaan kepada usaha mengeratkan persaudaraan antarabangsa, mengurangkan ketenteraan, atau menggalakkan persidangan keamanan.
Namun, jelasnya, keputusan anugerah sentiasa dilihat mengikut konteks semasa.
“Jawatankuasa akan meneliti apa yang berlaku di dunia, trend global dan proses perdamaian yang sedang berlangsung,” ujarnya.
Setiap tahun ribuan individu layak dicalonkan, termasuk ahli kerajaan dan parlimen, ketua negara, profesor universiti, serta bekas penerima Hadiah Nobel Keamanan.
Beberapa pihak turut mendedahkan calon pilihan mereka bagi anugerah tahun ini.
Antaranya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), NATO, aktivis demokrasi Hong Kong, Chow Hang-tung serta peguam hak asasi manusia dari Kanada, Irwin Cotler.
Bagaimanapun, pencalonan terhadap Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump oleh beberapa pemimpin negara tidak sah kerana dibuat selepas tarikh tutup pada 31 Januari lalu.
Penerima Hadiah Nobel Keamanan bakal menerima pingat emas, diploma dan wang tunai bernilai USD1.19 juta, selain perhatian global sejurus pengumuman dibuat. -REUTERS