ATHENS, 29 September- Global Sumud Flotilla (GSF) bertekad meneruskan pelayaran ke Gaza, meskipun berdepan ancaman serangan serta gesaan supaya menghentikan misi.
Flotila yang menghimpunkan kira-kira 50 kapal awam itu sebelum ini diserang dron dengan bom asap dan serbuk gatal ketika berada di perairan antarabangsa, 30 batu nautika dari pulau Gavdos, Greece.
Serangan itu merosakkan beberapa kapal, namun tiada aktivis cedera.
Aktivis Greek, Iasonas Apostolopoulos memaklumkan, flotila kini bergerak sebagai armada tunggal dengan 44 kapal yang telah bergabung, manakala selebihnya dijangka menyertai dari pelabuhan lain.
“Kami akan terus ke Gaza. Misi kami adalah untuk memecahkan sekatan haram Israel dan mewujudkan koridor kemanusiaan rakyat.
Kami menuntut laluan selamat untuk kapal kami, kerana tiada siapa yang benar-benar bebas selagi Palestin masih terkepung. Semua mata ke Gaza, semua mata ke flotila ini,” katanya.
Anggota jawatankuasa pemandu GSF, Kleoniki Alexopoulou pula menegaskan, perjuangan mereka adalah usaha bersama rakyat dunia untuk membantu Palestin.
“Kami di sini untuk memecahkan sekatan Gaza dan menyumbang kepada perjuangan rakyat Palestin.
Kami menggesa semua masyarakat antarabangsa supaya terus mengikuti perkembangan kami dan membantu Palestin mencapai pembebasan,” katanya.
Terdahulu, Presiden Itali, Sergio Mattarella mencadangkan supaya bantuan flotila dihantar ke Cyprus dan disalurkan melalui Patriarkat Latin Jerusalem untuk diagihkan ke Gaza.
Cadangan itu mendapat sokongan Israel, namun ditolak penganjur flotila.
Flotila yang diketuai aktivis antarabangsa termasuk ahli parlimen, peguam dan tokoh masyarakat itu kini dalam perjalanan melintasi Laut Mediterranean dengan sasaran tiba awal minggu depan.
Israel sebelum ini memberi amaran akan menggunakan apa sahaja cara untuk menghalang flotila berkenaan daripada memasuki Gaza. -REUTERS
