HANOI, 29 September- Sekurang-kurangnya lapan orang terkorban manakala 17 lagi dilaporkan hilang selepas Taufan Bualoi melanda Vietnam pada Isnin.
Taufan berkenaan mengakibatkan banjir besar, rumah rosak dan gangguan bekalan elektrik.
Agensi cuaca Vietnam memaklumkan ribut itu mula membadai pesisir pantai tengah utara sebelum mendarat di wilayah Nghe An pada awal pagi dengan kelajuan angin mencecah 117 kilometer sejam.
Menjelang pukul 11 pagi, kelajuan itu berkurang kepada 74 kilometer sejam ketika ia bergerak ke arah Laos.
Setakat ini, lebih 245 rumah dilaporkan rosak, hampir 1,400 hektar tanaman termasuk padi ditenggelami air, selain akses ke beberapa kawasan terputus.
Pihak berkuasa telah memindahkan lebih 28,500 penduduk ke kawasan selamat sebelum ribut melanda.
Ratusan penerbangan turut dibatalkan atau ditangguhkan selepas empat lapangan terbang di wilayah tengah diarahkan tutup.
Vietnam yang menghadap Laut China Selatan kerap terdedah kepada taufan, lazimnya terbentuk di timur Filipina.
Minggu lalu, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh apabila Bualoi membadai negara kepulauan itu. -REUTERS