BANGKOK, 29 September- Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul membentangkan agenda dasar kerajaan di parlimen hari ini.
Tumpuan terarah kepada langkah segera memulihkan ekonomi negara itu, yang kini berdepan pelbagai cabaran.
Antara keutamaan yang digariskan termasuk usaha mengurangkan kos sara hidup, menangani hutang isi rumah, serta merancakkan pelancongan domestik.
Thailand kini berdepan tekanan akibat tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS), kadar hutang tinggi, penggunaan domestik yang lemah dan pengukuhan nilai baht.
Selain itu, Anutin turut menekankan keperluan menyelesaikan pertikaian dengan Kemboja secara aman, membanteras aktiviti perjudian haram, serta memperkukuh kesiapsiagaan bencana melalui sistem amaran awal berteknologi tinggi.
“Kerajaan ini akan menyokong pelaksanaan referendum bagi meminda Perlembagaan supaya suara rakyat didengar dengan penglibatan semua sektor.
Ia selaras dengan keputusan Mahkamah Perlembagaan, sambil mengekalkan monarki berperlembagaan dengan Raja sebagai ketua negara,” katanya di parlimen, di sini.
Beliau menegaskan, selaku perdana menteri, beliau akan melakukan yang terbaik dalam mentadbir negara bagi meletakkan asas masa depan mampan, demi kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat Thailand.
Anutin sebelum ini mengumumkan Parlimen bakal dibubarkan selewat-lewatnya Januari depan, dengan pilihan raya umum dijangka berlangsung pada Mac atau awal April. -REUTERS