fb fb fb fb fb

12 maut akibat Taufan Bualoi di Vietnam

FOTO Reuters

NINH BINH, 29 September - Angka korban akibat Taufan Bualoi yang melanda utara tengah Vietnam melonjak kepada sekurang-kurangnya 12 orang, lapor media tempatan.

Sembilan kematian direkodkan di wilayah Ninh Binh di utara, manakala tiga lagi di bandar Thanh Hoa, Hue dan Da Nang.

Kira-kira 17 nelayan disyaki hilang selepas tiga bot nelayan gagal dikesan.

Hujan lebat, banjir dan risiko tanah runtuh dijangka dalam tempoh beberapa hari akan datang, kata Agensi Hidrometeorologi Negara.

Sekurang-kurangnya seorang disahkan maut selepas terperangkap dalam banjir di bandar Hue, manakala 12 nelayan hilang selepas ombak besar menenggelamkan empat bot nelayan di luar pantai wilayah Quang Tri.

Ribut itu membadai wilayah Nghe An pada pukul 8 pagi waktu tempatan dengan kelajuan angin maksimum yang semakin lemah kepada 88 kilometer (54 batu) sejam berbanding 117 kilometer (72 batu) sejam di kawasan darat.

Agensi cuaca turut memberi amaran banjir dari Thanh Hoa ke Ha Tinh, selain risiko tanah runtuh di kawasan pedalaman barat wilayah Thanh Hoa, Nghe An, dan Ha Tinh.

Pihak berkuasa telah memindahkan hampir 30,000 orang sebelum taufan melanda.

Ratusan penerbangan turut dibatalkan dan ditunda berikutan empat lapangan terbang di wilayah tengah ditutup. - REUTERS

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN