SYDNEY, 7 Disember- Dianggarkan 15% daripada populasi koala yang semakin berkurangan di wilayah New South Wales, Australia dijangka mendapat perlindungan pada awal tahun 2025, namun menurut pakar alam sekitar berkata ia mungkin sudah terlambat.
Untuk menyokong habitat haiwan ikonik Australia ini, kerajaan negeri merancang untuk menggabungkan 315,000 hektar taman negara dan tanah hutan awam ke dalam Taman Negara Great Koala (GKNP), ia meliputi kawasan dua kali ganda saiz London.
Pencinta alam sekitar dan penyokong hutan tempatan memberi amaran bahawa pokok makanan koala terbaik boleh hilang apabila taman kira-kira 500 kilometer di utara Sydney diperbesarkan.
Perkara itu disebabkan peningkatan pembalakan hutan asli di kawasan itu.
"Terdapat pembalakan secara besar-besaran di beberapa kawasan di Taman Negara Great Koala," kata peguam bela hutan tempatan Mark Graham.
"Tindakan yang dilakukan ini akan mengambil masa yang lama untuk dipulihkan, dan dalam beberapa aspek, ia mungkin tidak akan dapat diperbaik lagi."
Koala diklasifikasikan sebagai spesies terancam di New South Wales, Queensland dan Wilayah Ibu Kota Australia pada 2022.
Kumpulan alam sekitar menganggarkan koala boleh pupus di New South Wales menjelang 2050 sekiranya tindakan tidak diambil.
Menurut pengiraan data yang disediakan oleh Perbadanan Perhutanan Australia, pembalakan dalam tempoh enam bulan akan datang di dalam GKNP berada pada paras tiga kali ganda berbanding 2021-2022.
Peguambela dan kumpulan alam sekitar mahu negeri itu mengharamkan pembalakan di seluruh kawasan cadangan GKNP sehingga rancangan dimuktamadkan.
"Ia tidak masuk akal," kata saintis pemuliharan Australia dari World Wide Fund for Nature Stuart Blanch. "Mereka harus mewujudkan Taman Negara Great Koala dan semasa mereka berbuat demikian, hentikan pokok yang dijaadikan sumber makanan koala ini ditebang."
Menteri Alam Sekitar Penny Sharpe berkata, kerajaan sedang berusaha untuk mendapatkan GKNP secepat mungkin, namun komitmen memerlukan kerjasama daripada masyarakat dan industri tempatan.
"Kami bukan sahaja akan menghentikan pembalakan ini, malah akan bersama-sama berjuang demi hutan ini," kata Sharpe.
Kerajaan Australia berkata, pada September ia menghentikan pembalakan di 106 hab koala di seluruh hutan negeri di taman yang dicadangkan.
Hab itu meliputi kurang daripada 5% daripada hutan yang dinilai untuk dimasukkan ke dalam taman koala.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hasil Hutan Australia NSW James Jooste berkata, kawasan taman yang dicadangkan itu merupakan wilayah utama bagi industri pembalakan.
“Kita boleh memiliki kedua-duanya, industri hutan asli yang mampan dan Taman Negara Great Koala,” katanya.- REUTERS