GAZA, 7 Disember- Tentera Israel meneruskan pertempuran sengit dengan Hamas dalam serangan yang semakin meluas ke selatan Gaza pada Rabu.
Serangan itu memaksa berpuluh-puluh ribu orang penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal dan bersesak-sesak ke sebuah bandar berhampiran sempadan Mesir untuk mengelakkan pengeboman Israel.
Bagaimanapun, penduduk awam bimbang keselataman mereka di Rafah.
Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah rumah di bandar itu pada Rabu, kata sumber perubatan Palestin.
Beratus-ratus ribu rakyat Palestin melarikan diri dari utara Gaza ke selatan semasa perang dua bulan antara Israel dan tentera Hamas.
Perpindahan penduduk menyebabkan mereka semakin terkurung berhampiran sempadan Mesir. Ia merupakan kawasan yang dianggap selamat oleh tentera Israel.
"Orang Israel berbohong. Tiada tempat di Gaza yang selamat dan esok mereka akan mengejar kami di Rafah," kata bapa kepada lima anak Samir Abu Ali, 45, kepada Reuters.
Tentera Israel beroperasi di tengah-tengah bandar Khan Younis, buat kali pertama, kata tenteranya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tentera Israel telah memulakan "serbuan disasarkan" di tengah Khan Younis. "Tentera terus menyerang Hamas, memusnahkan infrastruktur dan senjata."
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata tentera Israel sedang mengepung rumah pemimpin Hamas Yahya Al-Sinwar di Khan Younis. "Rumahnya mungkin bukan kubunya dan dia boleh melarikan diri tetapi hanya menunggu masa sebelum kita mendapatkannya," kata Netanyahu dalam satu rakaman video.
Penduduk Khan Younis berkata kereta kebal Israel menghampiri rumah Sinwar. Israel percaya ramai pemimpin dan tentera Hamas bersembunyi di dalam terowong bawah tanah.
Tentera Hamas, Briged al-Qassam, berkata pertempuran adalah sengit. Penduduk berkata, pengeboman Israel bertambah kejam dalam sekelip mata, membunuh dan mencederakan orang awam.
Selain itu kereta kebal mula bertempur dengan Palestin di utara dan timur Khan Younis.- REUTERS