fb fb fb fb fb

AS pantau laporan kapal perang China di Kemboja

Tentera Laut berkawal di Pangkalan Tentera Laut Ream Kemboja/Foto fail REUTERS

WASHINGTON, 7 Disember- Amerika Syarikat (AS) sedang memantau laporan kapal perang China berlabuh di Kemboja.

Perkara itu sekali gusmencetuskan kebimbangan mengenai rancangan Beijing untuk mempunyai kawalan eksklusif ke atas bahagian pangkalan tentera laut utama di sana, kata jurucakap Jabatan Negara pada hari Rabu.

Radio Free Asia (RFA) melaporkan kapal perang China telah tiba di Pangkalan Tentera Laut Ream Kemboja pada Selasa dan memetik Menteri Pertahanan Kemboja Tea Seiha berkata dalam hantaran di Facebook pada Ahad, "ini adalah persediaan untuk latihan" Tentera Laut Kemboja.

RFA berkata lawatan kapal perang itu bertepatan dengan pertemuan di Phnom Penh pada Isnin antara pemimpin Kemboja dan Naib Pengerusi Suruhanjaya Tentera Pusat China He Weidong.

Jurucakap Jabatan Negara AS berkata Washington sedang memantau laporan itu dan akan merujuk kepada Chin, "walaupun kami tidak mempunyai sebarang komen mengenai perkembangan khusus ini, kami mempunyai kebimbangan serius mengenai rancangan RRC untuk kawalan eksklusif ke atas bahagian Pangkalan Tentera Laut Ream."

AS menggesa Kemboja untuk memastikan "kehadiran atau teknologi sensitif" China tidak akan dibenarkan di Ream kerana ia akan "menggugat kedaulatan Kemboja, melanggar perlembagaannya, dan menjejaskan kestabilan serantau," kata pegawai itu.

Bagaimanapun RFA tidak pasti jumlah kapal perang China yang berlabuh di Ream, namun imej di Facebook Tea Seiha kelihatan menunjukkan sekurang-kurangnya dua.

Gambar daripada satelit pada 3 Disember juga menunjukkan dua kapal, kemungkinan korvet atau frigat, di jeti baharu di sana.

Keputusan Kemboja membenarkan China membangunkan Ream mengecewakan Washington dan mencetuskan kebimbangan ia akan memberi Beijing sebuah pos baharu berhampiran Laut China Selatan.

Pentagon percaya rancangan pembesaran pangkalan itu termasuk penggunaan eksklusif bahagian utaranya untuk tentera China dan mengatakan tidak ada negara yang berkongsi butiran penuh berkenaan rancangan itu. Washington berkata ini menunjukkan kekurangan ketelusan.

Pakar Laut China Selatan Gregory Poling di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa Washington berkata kebimbangan utama bagi AS dan rakan kongsinya ialah sebarang peralatan radar yang mungkin dipasang China di Ream.

"Aspek tentera laut pangkalan itu tidak begitu membimbangkan bagi AS kerana mereka tidak membawa kapal China lebih dekat dengan Selat Melaka," katanya.

"Kehadiran itu sepatutnya membimbangkan Thailand dan Vietnam kerana ia akan memanjangkan keupayaan China untuk mengawasi Thailand dan timur Lautan Hindi."

Kemboja menolak kebimbangan membenarkan pangkalan tentera China di negara itu. Ia juga berkata mana-mana negara boleh menggunakan kemudahan Ream, sementara ia terbuka untuk menerima bantuan ketenteraan daripada sesiapa sahaja.

Pada 2020, Kemboja berkata ia telah memusnahkan kemudahan yang dibiayai AS di Ream untuk membenarkan pembangunan pangkalan China di sana.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI