fb fb fb fb fb

Guterres akan bertemu Zelensky selepas jumpa Putin

NEW YORK, 23 April - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres akan bertemu dengan Presiden Volodymyr Zelensky di Ukraine minggu depan selepas melawat Moscow untuk berunding dengan Presiden Vladimir Putin mengenai peperangan, kata PBB semalam.

PBB dalam satu kenyataan memaklumkan Guterres akan bertemu Zelensky dan Menteri Luar Ukraine pada hari Khamis, dua hari selepas melawat Moscow.

(Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres / FOTO AFP)

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov pula mengesahkan bahawa Putin akan bertemu Guterres pada hari Selasa.

Guterres menghantar surat minggu ini, meminta pertemuan secara peribadi ini untuk cuba mendapatkan semula inisiatif untuk PBB, yang sebahagian besarnya telah dipinggirkan daripada krisis sejak Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu.

Sebahagiannya adalah kerana perang yang telah memecahbelahkan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB: Amerika Syarikat, Perancis, Britain, China dan Rusia.

China enggan mengutuk pencerobohan itu, menggambarkan Rusia sebagai mangsa usaha Barat untuk melemah negara tersebut.

Dengan surat yang dihantarnya pada hari Selasa, Guterres berusaha untuk merangsang dialog untuk menamatkan peperangan.

"Pada masa bahaya ini, beliau ingin membincangkan langkah-langkah segera untuk mewujudkan keamanan di Ukraine", kata jurucakap Stephane Dujarric minggu ini.

Pada 26 Mac lalu, Guterres berhubung dengan Zelensky melalui telefon.

Sementara itu, Putin tidak menerima panggilan telefon Guterres, atau mempunyai sebarang hubungan dengannya, sejak ketua PBB menyatakan bahawa pencerobohan itu melanggar piagam PBB.-AFP

Media Baharu