fb fb fb fb fb

Gustavo Petro presiden berhaluan kiri pertama Colombia

(Gustavo Petro bersama isterinya Veronica Alcocer Garcia tiba untuk majlis
angkat sumpahnya di Plaza Bolivar, di Bogota, Colombia/REUTERS)

BOGOTA, 8 Ogos - Gustavo Petro mengangkat sumpah jawatan sebagai presiden berhaluan kiri pertama Colombia, di hadapan ratusan ribu hadirin di sini.

Bekas gerila berusia 62 tahun yang pernah menjadi Datuk Bandar itu mengambil alih jawatan Ivan Duque yang sangat tidak popular, dengan rancangan untuk melakukan pembaharuan meluas di negara yang berhadapan ketidaseimbang ekonomi dan jenayah berkaitan dadah.

Kemenangan Petro dalam pilihan raya pada Jun lepas membawa Colombia, yang telah lama diperintah oleh elit konservatif, ke dalam lipatan sayap kiri yang sedang berkembang di Amerika Latin.

“Saya bersumpah kepada Tuhan dan berjanji kepada rakyat bahawa saya akan menguatkuasakan perlembagaan dan undang-undang Colombia dengan setia,” kata Petro di hadapan penyokongnya yang berkumpul di Dataran Bolivar.

Dalam ucapannya Petro yang kerajaannya sepatutnya mendapat sokongan daripada majoriti berhaluan kiri dalam Kongres menggesa kumpulan bersenjata Colombia supaya meletak senjata dan menerima 'faedah undang-undang' sebagai pertukaran untuk keamanan.

Beliau juga menyasarkan usaha membanteras narkotik selama beberapa dekad, dengan berkata: "Sudah tiba masanya untuk konvensyen antarabangsa baharu yang mengiktiraf bahawa perang terhadap dadah telah gagal."

Dan beliau menyeru supaya dana antarabangsa diwujudkan bagi membantu Hutan Amazon di selatan Colombia yang dilanda diancam penggondolan.

(Gustavo Petro/REUTERS)

Dalam siri kempennya sebelum ini Petro berjanji dalam tempoh empat tahun penggalnya beliau akan menaikkan cukai terhadap orang kaya, melabur dalam penjagaan kesihatan dan pendidikan serta mereformasi polis.

Beliau turut berikrar untuk menangguhkan penerokaan minyak, mempromosikan tenaga bersih dan mengaktifkan semula hubungan diplomatik dan komersial dengan kerajaan pimpinan Nicolas Maduro di Venezuela, yang digantung sejak 2019. -AFP

Media Baharu