fb fb fb fb fb

Gunung berapi meletus berhampiran ibu negara Iceland

(FOTO REUTERS)

REYKJAVIK, 11 Julai -Sebuah gunung berapi meletus berhampiran ibu negara Iceland, menandakan kali ketiga dalam tempoh dua tahun lahar memancut keluar di kawasan itu, kata pejabat kaji cuaca negara itu.

Rakaman media tempatan menunjukkan kepulan asap besar yang naik dari tanah serta aliran lahar yang besar di tapak sekitar 30 kilometer dari Reykjavik.

Menurut seorang wartawan AFP, asap boleh dilihat dari jalan yang menghubungkan ibu negara ke lapangan terbang antarabangsa, dengan kereta berhenti dan orang ramai mengambil gambar.

"Letusan itu berlaku dalam lekukan kecil di utara Litli Hrutur ('Little Ram' dalam bahasa Iceland) di mana asap keluar ke arah utara-barat," kata pejabat meteorologi.

"Terdapat tiga rekahan dengan lahar pada dasarnya mengalir ke semua arah," kata Pakar Vulkanologi Universiti Iceland, Prof Thorvaldur Thordarson kepada AFP.


(Lava memancut selepas letusan gunung berapi, di semenanjung Reykjanes/ REUTERS)

Dia menambah bahawa rekahan itu secara keseluruhannya sekitar 200 hingga 300 meter panjang dan "ia adalah intensiti rendah, letusan efusif."

Ini bermakna ia tidak menyebabkan ancaman yang meluas disebabkan oleh aktiviti letupan tetapi jika letusan berterusan cukup lama, ia boleh menjadi ancaman kepada infrastruktur.

Beribu-ribu gempa bumi kecil telah direkodkan di kawasan itu pada minggu sebelum letusan, menandakan bahawa magma di bawah tanah sedang bergerak dan letusan akan berlaku.

Pihak berkuasa Iceland menasihatkan supaya tidak pergi ke tapak, yang terletak di kawasan tanpa sambungan jalan, sebelum mereka menilai situasi.

Magma itu pecah melalui tanah sekitar 1640 GMT (12.40 pagi waktu Malaysia hanya beberapa kilometer dari dua letusan sebelumnya pada dua tahun lepas.

Yang pertama pada 19 Mac 2021 di lembah Geldingadalur dan terjadi selama enam bulan, manakala yang kedua berlaku pada 3 Ogos 2022 di lembah Meradalir, selama tiga minggu.

Sebelum letusan 2021, wilayah itu kekal tidak aktif selama lapan abad, tetapi ahli gunung berapi percaya kitaran baharu peningkatan aktiviti boleh bertahan beberapa tahun.

Setakat ini, letusan efusif yang berlaku di kawasan ini tidak begitu berbahaya, dan tidak mempunyai sebarang kesan kepada udara.- AFP

Media Baharu