fb fb fb fb fb

Guna data peribadi kanak-kanak: Badan perlindungan data UK siasat TikTok, Reddit

Gambar hiasan

LONDON, 3 Mac - Badan pemantau perlindungan data UK, Pejabat Pesuruhjaya Maklumat (ICO), menyiasat tiga platform media sosial, termasuk TikTok dan Reddit, berhubung penggunaan data peribadi kanak-kanak.

ICO dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa siasatan itu dijalankan susulan kebimbangan semakin meningkat mengenai kemungkinan kanak-kanak dan remaja terdedah kepada kandungan tidak sesuai atau berbahaya di media sosial.

"Tanggungjawab untuk memastikan keselamatan kanak-kanak dalam talian terletak sepenuhnya pada syarikat yang menawarkan perkhidmatan ini, dan pejabat saya komited untuk memastikan mereka bertanggungjawab," kata Pesuruhjaya Maklumat UK, John Edwards.

FOKUS SIASATAN KE ATAS TIKTOK, REDDIT DAN IMGUR

Siasatan terhadap TikTok, yang dimiliki oleh syarikat China, akan meneliti cara platform itu menggunakan maklumat peribadi pengguna berusia 13 hingga 17 tahun bagi tujuan cadangan kandungan dan paparan di platform media sosial mereka.

Sementara itu, platform Reddit dan Imgur akan disiasat berhubung mekanisme pengesahan umur serta penggunaan maklumat peribadi pengguna.

Jurucakap TikTok menegaskan bahawa syarikat itu komited sepenuhnya untuk memastikan pengalaman positif bagi golongan muda.

TikTok berkata platform tersebut telah melaksanakan langkah-langkah keselamatan dan privasi yang menyeluruh, termasuk sekatan ketat terhadap kandungan yang boleh diakses remaja.

Setakat ini, Reddit dan Imgur masih belum memberikan sebarang maklum balas mengenai siasatan tersebut.

Pada 2023, ICO mendenda TikTok beberapa juta pound kerana menggunakan data kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa atau penjaga. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN