LOS ANGELES, 3 Mac - Dokumentari No Other Land mencipta sejarah apabila merangkul anugerah Dokumentari Terbaik di Anugerah Akademi ke-97, membawa kisah penderitaan rakyat Palestin ke pentas global.
Dokumentari itu merupakan karya aktivis Palestin, Basel Adra dan wartawan Israel Yuval Abraham, menggambarkan perjuangan komuniti Palestin menentang pemusnahan rumah mereka oleh tentera Israel di Tebing Barat.
Dalam ucapan kemenangan yang penuh emosi, Abraham menyeru dunia agar tidak menutup mata terhadap konflik yang sedang berlaku.
"Kami dedikasikan kemenangan ini kepada rakyat Palestin yang sedang menghadapi kehancuran di Gaza dan Tebing Barat.
"Kita perlu mencari jalan penyelesaian yang tidak berasaskan penghapusan etnik, tetapi dengan keadilan dan hak untuk kedua-dua belah pihak," katanya.
Filem ini berkisar tentang Basel Adra, seorang aktivis muda Palestin yang menyaksikan dan merakam sendiri kehancuran kampung halamannya.
Sebuah tempat yang menjadi saksi kehidupan dan kenangan keluarganya.
Dengan setiap rumah yang dirobohkan, dia bukan sekadar melihat struktur bangunan runtuh, tetapi juga impian dan masa depan masyarakatnya yang semakin pudar.
Dalam perjuangannya menentang ketidakadilan ini, Basel dibantu oleh Yuval Abraham, seorang wartawan Israel yang melihat sendiri bagaimana kehidupan rakyat Palestin semakin terhimpit.
Mereka berdua mempunyai matlamat yang sama – mendedahkan kebenaran kepada dunia – tetapi kedudukan mereka sangat berbeza.
Basel hidup dalam ketakutan kerana setiap langkahnya boleh membawa kepada penahanan.
Manakala Yuval, dengan keistimewaan sebagai warganegara Israel, mempunyai kebebasan untuk bercakap tanpa risiko yang sama.
Sehingga kini, dokumentari ini telah ditayangkan di 24 negara, tetapi masih belum menemui jalan untuk ditayangkan di Amerika Syarikat – dipercayai kerana faktor politik.
No Other Land bukan sahaja mengangkat isu kemanusiaan yang mendalam tetapi juga menyeru kepada penyelesaian yang adil buat Israel-Palestin.