fb fb fb fb fb

GSF: 36 warga Turkiye dijangka pulang ke tanah air

Foto REUTERS

ISTANBUL, 4 Oktober – Turkiye memaklumkan seramai 36 warganya dijangka pulang ke tanah air melalui penerbangan khas pada petang Sabtu, susulan Israel memintas flotila bantuan yang menuju ke Gaza.

Menerusi perkongsian di X, jurucakap Kementerian Luar Turkiye, Oncu Keceli, memaklumkan lebih 30 aktivis terlibat dalam misi berkenaan.

“Kami menjangkakan 36 rakyat kami yang berada di atas kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang dirampas pasukan Israel di perairan antarabangsa akan pulang ke negara ini petang ini melalui penerbangan khas,” katanya sambil menambah jumlah sebenar aktivis yang terlibat masih belum dimuktamadkan.

Usaha sedang dijalankan untuk melengkapkan prosedur baki rakyat Turkiye secepat mungkin supaya mereka turut dapat pulang ke tanah air.

Warganegara dari negara ketiga juga dijangka berada dalam penerbangan itu.

Turkiye sebelum ini menyifatkan tindakan Israel memintas flotila berkenaan sebagai satu perbuatan keganasan.

Khamis lalu, Turkiye memaklumkan telah membuka siasatan selepas warganya ditahan pasukan Israel di atas kapal berkenaan.

Israel turut menggagalkan percubaan flotila lain untuk memasuki Gaza pada Jun dan Julai lalu. -AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM