fb fb fb fb fb

Gotabaya Rajapaksa tidak diberi layanan istimewa oleh Singapura

FOTO REUTERS

SINGAPURA, 3 Ogos- Bekas Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa tidak diberikan sebarang keistimewaan atau layanan khas oleh pemerintah Singapura.

Menurut Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, Rajapaksa tiba di negara itu 14 Julai lalu bagi lawatan peribadi dan beliau tidak diberikan kekebalan diplomatik sepanjang lawatan tersebut.

Keberadaan bekas presiden kontroversi itu di Singapura dibangkitkan beberapa anggota Parlimen negara itu pada persidangan pada Isnin.

Selain jenis layanan yang diberikan, anggota Parlimen Singapura turut membangkitkan sikap semasa pemerintah terhadap isu tersebut, menyumbang kepada persepsi Singapura bakal menjadi destinasi bagi pelarian politik.

Menjawab persoalan berkenaan, Menteri Ehwal Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam menjelaskan warga asing yang memiliki dokumen perjalanan yang sah dan memenuhi syarat-syarat kemasukan akan dibenar memasuki Singapura.

Singapura sedia menghulurkan bantuan mengikut undang-undang sekiranya warga asing tersebut dikehendaki pemerintahnya.

Media tempatan melaporkan, pas lawatan bekas presiden kontroversi itu difahamkan telah dilanjutkan selama 14 hari membolehkan beliau boleh terus berada di Singapura sehingga 11 Ogos ini.- REUTERS


(FOTO REUTERS)

Media Baharu